[TERKINI] Senarai Lengkap Kabinet Baharu MADANI – Siapa Pegang Portfolio Utama?
POLITIK

Rombakan Kabinet: Dr Taufiq komited teruskan legasi kepimpinan Hannah Yeoh di KBS

Shafiqa Azami 17/12/2025 | 05:45 MYT
Menteri Belia dan Sukan yang baharu dilantik, Dr Mohammad Taufiq Johari bercakap pada sidang media Menara KBS, Putrajaya pada Rabu. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar
PUTRAJAYA: Menteri Belia dan Sukan yang baharu dilantik, Dr Mohammad Taufiq Johari menegaskan komitmennya untuk meneruskan serta memperkukuh usaha yang telah dilaksanakan barisan kepimpinan terdahulu di Kementerian Belia dan Sukan (KBS).


Ringkasan AI
  • Dr Mohammad Taufiq Johari menegaskan komitmen untuk meneruskan usaha mantan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, bagi memastikan agenda belia dan sukan negara relevan dan berkesan.
  • Beliau bersama Timbalan Menteri, Mordi Bimol, melapor diri di Kementerian Belia dan Sukan selepas angkat sumpah jawatan, meminta ruang untuk meneliti perkara di bawah kementerian sebelum mengumumkan hala tuju seterusnya.
  • Dr Mohammad Taufiq menekankan peranan penting pengurusan tertinggi kementerian dalam memastikan kelangsungan agenda KBS serta mahu meningkatkan kerjasama rentas kementerian dan sokongan persatuan bagi memperkukuh agenda belia dan sukan negara.


Beliau berkata, asas kukuh yang dibina oleh mantan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, perlu diteruskan bagi memastikan kesinambungan agenda belia dan sukan negara kekal relevan dan berimpak.

“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada YB Hannah Yeoh serta YB Adam Adli atas gerak kerja yang sangat kukuh dan mantap sepanjang menerajui kementerian ini, dan saya yakin kesinambungan usaha tersebut akan diteruskan oleh saya dan Timbalan Menteri,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media di Menara KBS, di sini pada Rabu .

Dr Mohammad Taufiq bersama Timbalan Menterinya, Mordi Bimol, melapor diri di KBS hari ini selepas mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, pada Rabu.

Dalam kenyataan pertamanya sebagai Menteri, Ahli Parlimen Sungai Petani itu meminta semua pihak memberi ruang dan masa untuk beliau meneliti secara menyeluruh perkara-perkara di bawah kementerian berkenaan sebelum mengumumkan hala tuju seterusnya.

Beliau turut menekankan peranan penting pengurusan tertinggi kementerian dalam memastikan kelangsungan agenda KBS.

“Yang paling penting, ia akan dilaksanakan dengan bantuan dan sokongan Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Dr Nagulendran, yang sangat komited dan memainkan peranan besar dalam membangunkan KBS,” katanya.

Mengulas hala tuju kementerian, Dr Mohammad Taufiq menegaskan peranan KBS bukan sekadar tertumpu kepada pembangunan belia, sebaliknya berfungsi sebagai pemacu kepada pembangunan negara secara menyeluruh.

“Kementerian ini bukan hanya untuk membangunkan belia, tetapi untuk membangunkan negara,” katanya.

Beliau berkata, pada peringkat awal, fokus akan diberikan kepada sesi taklimat dalaman bersama Ketua Setiausaha serta pengurusan tertinggi sebelum hala tuju dan perincian gerak kerja diumumkan kepada media.

Dr Mohammad Taufiq turut menekankan kepentingan kerjasama rentas kementerian serta sokongan persatuan di bawah KBS bagi memastikan agenda belia dan sukan dapat diperkukuh selari aspirasi Malaysia MADANI.

“Saya yakin dengan sokongan semua pihak, termasuk penjawat awam KBS, kementerian ini mampu dilonjakkan ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.

Untuk rekod, Hannah Yeoh dilantik Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), manakala Adam Adli dilantik sebagai Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi dalam rombakan Kabinet terbaharu.









#Kementerian Belia dan Sukan #Dr Mohammad Taufiq #KBS #Hannah Yeoh #rombakan Kabinet Kerajaan MADANI