CADANGAN pindaan Perlembagaan berhubung larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti sudah dimaklumkan kepada jemaah menteri pada Rabu.

Jelas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun turut memberi penjelasan kepada jemaah menteri berkaitan pindaan Perlembagaan itu.

Katanya, tiada bantahan terhadap draf berkenaan dalam kalangan jemaah menteri seperti dicadangkan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen.

Namun, jemaah menteri turut membangkitkan dua perkara agar diperincikan dan diperhalusi semula oleh Jawatankuasa Pilihan Khas.

Jelas Wan Junaidi, mengikut Peraturan 85 Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat, maklumat berhubung Jawatankuasa Pilihan Khas tidak boleh didedahkan kepada umum.

Ini kerana ia masih dalam perbincangan di peringkat Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen.

Menurutnya, persoalan yang dibangkitkan jemaah menteri akan dibawa kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen pada 7 Jun ini untuk diteliti seterusnya memuktamadkan RUU tersebut.