KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengucapkan syabas kepada 209 Ahli Dewan Rakyat yang menyokong Rang Undang-undang Pelembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 mengenai Peruntukan Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti.

Menurut Ahli Parlimen Bera itu, ia mencipta sejarah apabila diluluskan di Dewan Rakyat dengan sokongan majoriti lebih dua pertiga.

“Syabas kerana Ahli-ahli Yang Berhormat yang berada di dalam dewan yang mulia telah menjalankan amanah rakyat melalui sistem demokrasi Berparlimen.

“Rang Undang-Undang ini terhasil selepas pelbagai sesi libat urus, pandangan serta melalui Jawatankuasa Pilihan Khas secara bi-partisan melibatkan wakil parti-parti utama di dalam Dewan Rakyat,” katanya dalam kenyataan pada Khamis,


BACA: RUU Antilompat Parti lulus, disokong lebih dua pertiga ahli Dewan Rakyat 

Perdana Menteri berkata, Rang Undang-Undang tersebut penting bagi memastikan kestabilan politik yang berpanjangan.

Selain itu, Perdana Menteri turut berterima kasih kepada semua 54 Ahli Dewan Rakyat yang telah menyertai sesi perbahasan dan memberikan pandangan mereka.

“Ini adalah isyarat yang jelas bahawa Ahli-ahli Yang Berhormat mengamalkan politik matang berteraskan semangat Keluarga Malaysia dengan meletakkan kepentingan dan kesejahteraan rakyat dalam apa juga perancangan dan pelaksanaan,” tambah beliau.