RUU Antilompat Parti: PM perlu selesaikan perbezaan antara parti dalam kerajaan - Anthony Loke

Israr Khalid
Mac 25, 2022 01:00 MYT
LOKE: Tanggungjawab kita adalah menyokong kalau RUU itu dibawa. -Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Tindakan membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Antilompat Parti adalah tanggungjawab kerajaan yang perlu ada kata sepakat antara parti komponennya berhubung isu itu.
Gesa Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke Siew Fook, Perdana Menteri selaku ketua kerajaan perlu menyelesaikan perbezaan antara mereka yang mungkin menjadi penyebab kepada tertangguhnya tindakan itu tidak seperti yang disepakati.
Itu tanggungjawab di pihak kerajaan, katanya, di mana pihak pembangkang pula bertanggungjawab untuk sebulat suara bersetuju untuk meluluskan RUU tersebut supaya matlamat bersama untuk menamatkan penyakit ‘katak’ dapat tercapai.
“Dalam perjanjian persefahaman (MoU) kerajaan-pembangkang amat jelas bahawa kalau apa-apa komitmen yang telahpun dipersetujui tidak dilaksanakan atau dari pihak kita, kalau kita tak melaksanakan tanggungjawab kali maka MoU itu terbatal
“Tanggungjawab kita adalah menyokong kalau RUU itu dibawa.
"Katakan RUU ini dibawa ke Parlimen, kita tak mencukupkan nombor untuk meluluskan pindaan Perlembagaan itu, maka kita gagal di pihak kita dari segi obligasi kita.
“Jadi kerajaan boleh batalkan MoU tu, boleh tarik balik peruntukan dan sebagainya.”
Beliau merasakan tindakan untuk membentangkan RUU itu tidaklah sesukar mana, cuma perlu diselesaikan pendapat yang berbeza dalam kalangan pimpinan parti yang membentuk kerajaan campuran itu.
Ia menjadi tanggungjawab Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk mewujudkan persefahaman dalam Kabinetnya untuk meluluskan pembentangan RUU tersebut sesegera mungkin.
“Apabila ia dibawa (ke Parlimen) saya rasa obligasi itu selesai dan kita boleh selesaikan perkara ini.
“Saya yakin, apabila Akta Antilompat Parti ini diluluskan maka apa yang terkandung dan termaktub dalam MoU ini boleh dikata dilaksana dengan baik.”
Tonton sesi penuh Dialog Tiga Penjuru yang turut disertai Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said; dan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil dihoskan oleh Ibrahim Sani, di sini:
RUU Antilompat Parti: PM perlu selesaikan perbezaan antara parti dalam kerajaan - Anthony Loke
Dialog Tiga Penjuru: Segerakan Akta Anti Lompat Parti
#Dialog Tiga Penjuru #Anthony Loke Siew Fook #RUU Antilompat Parti #RUU