GEORGE TOWN: Kerajaan Pulau Pinang akan mengadakan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Khas September ini bagi meminda perlembagaan negeri agar selari dengan Perlembagaan Persekutuan selepas Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-undang  Antilompat Parti pada Khamis.

Ketua Menterinya Chow Kon Yeow berkata, meskipun usul yang diluluskan di peringkat Parlimen sedikit berbeza dengan usul yang dibuat di peringkat DUN namun pihaknya akan cuba selarikan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Berikutan itu , Kon Yeow telah mengarahkan Penasihat Undang-Undang Negeri untuk meneliti perkara tersebut supaya undang-undang itu boleh dikuatkuasakan di Pulau Pinang.

"Saya telah beri arahan kepada Penasihat Undang-Undang Negeri untuk melihat macam mana untuk kita melihat seterusnya dan akan selarikan  peruntukan Perlembagaan Negeri dengan Perlembagaan Persekutuan.

"Kita juga bercadang mengadakan satu sesi khas Dewan Undangan Negeri untuk membawa pindaan kepada perlembagaan negeri dalam tempoh terdekat, dalam bulan September," katanya.

Antilompat Parti | Pulau Pinang adakan Sidang DUN Khas pada September

Kon Yeow berkata, sekiranya mana- mana negeri tidak meminda Perlembagaan Negeri mengikut Perlembagaan Persekutuan maka undang-undang itu tidak akan terpakai di peringkat negeri.

Sehubungan itu Kon Yeow berharap tindakan sama juga diambil negeri lain untuk menyeragamkan perlembagaan negeri masing-masing berhubung RUU Antilompat Parti tersebut.

Beliau berkata demikian mengulas  mengenai Dewan Rakyat yang meluluskan Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 mengenai Peruntukan Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti dengan undi majoriti dua pertiga Ahli Dewan.

Seramai 209 ahli Parlimen bersetuju dan 11 ahli Parlimen tidak hadir menerusi undi belah bahagian di Dewan Rakyat semalam.

RUU itu akan dibentangkan di Dewan Negara pada 9 Ogos ini dan selepas diluluskan ia akan dipersembahkan kepada Yang Di Pertuan Agong untuk mendapat perkenan sebelum diwartakan.

Pada 2012, Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang telah meluluskan Rang Undang-undang Enakmen Perlembagaan Negeri Pulau Pinang (Pindaan) 2012 bagi menyekat wakil rakyat daripada melompat parti untuk keuntungan peribadi.

Mengikut Seksyen 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang iaitu mana-mana ADUN yang berhenti menjadi ahli parti diwakili semasa pilihan raya perlu mengosongkan kerusinya.

Kon Yeow juga memberitahu, permohonan kerajaan negeri bagi merujuk soalan perlembagaan berkenaan dengan perkara 14 A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang untuk penentuan oleh Mahkamah Persekutuan (Menurut Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 dan Perkara 128 Persekutuan Perlembagaan) telah ditetapkan perbicaraan pada 3 Ogos depan.

Terdahulu Kon Yeow hadir pada majlis penganugerahan sijil Malaysia Book Of Record Tallest Automated Hotel Car Park dan Highest Cantilevered Acrylic-Bottom Swimming Pool di The Granite Luxury Hotel di George Town pada Jumaat.