RUU Antilompat Parti tidak perlu gopoh - Presiden Pas

Astro Awani
April 8, 2022 06:50 MYT
Tindakan ahli lompat parti bukanlah isu baru, justeru memerlukan penelitian mendalam, kata Abdul Hadi. - Gambar fail
MARANG: Usul Rang Undang-Undang (RUU) Antilompat Parti di Parlimen menuntut penelitian yang mendalam serta menyeluruh dan tidak perlu gopoh, kata Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Menurut Presiden Pas itu, ini adalah kerana tindakan ahli lompat parti bukanlah isu baru dan masalah itu telah lama dilalui mereka.
Pas sendiri, jelas beliau, sudah melalui isu lompat parti semasa menerajui pemerintahan kerajaan negeri Kelantan pada tahun 1959.
“Kita kena sedar bahawa lompat parti ini ada sebab-sebab. Oleh sebab-sebab itu betul dia tahu dia tolak, kalau sebab-sebab itu salah baru kita tolak. Ini perlu pada pentafsiran kerana perjuangan kita untuk selamatkan rakyat bukan selamatkan diri.
“Dengan sebab itu kena ada huraian-huraian… tak boleh buat mudah-mudah saja,” jelas Abdul Hadi.
Mengulas dakwaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) cuba melengahkan pembentangan RUU itu,Abdul Hadi berkata, Pas dan parti itu merupakan sebahagian daripada kerajaan, justeru dalam isu berkenaan menuntut perbincangan.
“Tak timbul (isu) lengah-lengah… Bersatu akan bincang dengan kita… bukan Bersatu sahaja kerana Perikatan Nasional meliputi Bersatu, Pas termasuk parti Sarawak, di Sabah sebahagian UMNO,” katanya.
Pembentangan RUU Antilompat Parti yang sepatutnya dibentangkan di Dewan Rakyat pada Isnin minggu hadapan tidak disetujui dan tidak mendapat kata sepakat Kabinet.
Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan ia ditangguhkan buat kali kedua.
#RUU Antilompat Parti #Dewan Rakyat #Presiden Pas #Abdul Hadi Awang