KUALA LUMPUR: DAP menyambut baik penerimaan kerajaan untuk membentangkan Rang Undang-undang (RUU) Pendanaan Parti Politik apabila Dewan Rakyat bersidang pada Oktober nanti.

Namun begitu, DAP menggesa agar sesi libat urus mengenai kandungan RUU tersebut diadakan juga dengan parti pembangkang.

Dalam satu kenyataan pada Khamis, Biro Dasar DAP menegaskan proses reformasi pendanaan parti politik adalah langkah penting bagi memulihkan Malaysia dan membuka era baharu dalam lanskap politik dalam negara.

"Walaupun bulan Oktober kian hampir, pihak kerajaan masih belum lagi melaksanakan sebarang libat urus mengenai kandungan RUU tersebut dengan parti-parti politik pembangkang.

"RUU ini merupakan suatu perundangan penting yang bakal mencorak lanskap politik negara. Sepertimana RUU Anti Lompat Parti telah diberi penelitian rapi menerusi konsultasi rentas parti, RUU Pendanaan Parti Politik juga perlu menjalani proses libat urus menyeluruh yang serupa," katanya.

Parti itu turut menggariskan tiga cadangan untuk disertakan dalam RUU berkenaan kelak.

Ini termasuk menubuhkan Suruhanjaya Pendanaan Politik untuk menguat kuasa peruntukan akta secara adil dan saksama, mewujudkan mekanisme peruntukan dana awam (public fund allocation) bagi mengelakkan skandal politik mega seperti 1MDB dan LCS, serta membentuk Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen mengenai Pendanaan Politik bagi memperhalusi butir-butir teknikal RUU tersebut sebelum ia dibentang di Dewan Rakyat.