KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah akan membentangkan Rang Undang-undang (RUU) Anti Lompat Parti pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) selama empat hari bermula Isnin (22 Mei), kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Beliau yang menangkis dakwaan pembangkang berkata kerajaan negeri tidak sengaja mahu menangguhkan pembentangan RUU berkenaan dengan tujuan untuk mengekang wakil rakyat negeri ini daripada menyokong pihak lain.

Beliau berkata RUU itu melibatkan pindaan terhadap Perlembagaan Negeri, serta memerlukan perkenan Yang di-Pertuan Agong dan Yang Dipertua Negeri Sabah sebelum ia boleh dibentangkan di Dewan Undangan Negeri.

"Jadi, tidak benar seperti dakwaan pembangkang bahawa kita sengaja melengah-lengahkannya. Kita kena patuhi prosedur," katanya dalam ucapan perasmian mesyuarat prapersidangan mesyuarat di Menara Kinabalu di sini, semalam.

Ketua Menteri berkata Rang Undang-undang Pindaan Perlembagaan Negeri memerlukan sokongan majoriti dua pertiga daripada ahli DUN sebelum dapat diluluskan.

"Saya yakin RUU itu akan mendapat sokongan penuh daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan ahli Pakatan Harapan. Saya juga menggesa wakil pembangkang menyokong RUU itu, kerana mereka juga menyokong rang undang-undang anti lompat parti diluluskan di Sabah," katanya

RUU Pindaan Perlembagaan Negeri adalah antara empat RUU yang akan dibentangkan dalam mesyuarat pertama penggal keempat Dewan Undangan Negeri dari 22 Mei hingga 25 Mei.

-- BERNAMA