Parti Warisan Sabah (Warisan) menyeru semua ahli dan penyokong menjaga adab ketika berkempen dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah nanti.

Naib Presiden Warisan, Datuk Dr Jaujan Sambakong berkata, ini merupakan pilihan raya yang cukup mencabar dan memerlukan semua pihak terutama penyokong bersedia mental dan fizikal.

“Harapan saya yang penting peradaban, berhemah ketika berkempen. Ini kerana kita mencari kebaikan, jangan kita berkempen seperti orang tidak beradab.

“Kita ini rakyat Sabah cukup baik, mempunyai maruah dan akhlak… Oleh itu jangan sesekali kita ikut perangai yang tak baik,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Persidangan Warisan Bahagian Beluran, di sini, pada Sabtu.

Dalam perkembangan sama, Jaujan berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dapat memantau dan memberikan ruang berkempen yang sama kepada semua parti.

Tegasnya, SPR perlu bersikap adil dan tidak menggunakan pandemik COVID-19 sebagai alasan mengekang aktiviti kempen.

Sementara itu, mengulas mengenai kriteria calon Warisan pula, Jaujan memberitahu, setiap calon perlu lantang bersuara selain berintegriti dan setia kepada parti.

“Ia akan didokong oleh latar belakang akademik dan aura tersendiri calon itu sendiri,” katanya.