Sabah Memilih: Bersatu bincang sama rakan sekutu tentukan calon KM

Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, perkara itu akan diumumkan selepas selesai perbincangan antara semua pihak yang akan dibuat dalam tempoh terdekat.

Hamzah (duduk tengah) mengadakan sidang media selepas Mesyuarat Badan Pemimpin Bersatu Sabah, di Kota Kinabalu, 8 Ogos, 2020. Turut sama, Hajiji (duduk kanan). --fotoBERNAMA | Astro Awani
Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan mengadakan perbincangan bersama parti komponen lain dalam Perikatan Nasional (PN) berhubung calon Ketua Menteri Sabah menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) ini.

Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, perkara itu akan diumumkan selepas selesai perbincangan antara semua pihak yang akan dibuat dalam tempoh terdekat.

Beliau turut memberi bayangan, keputusan mengenai siapa yang akan mengetuai PRN, sekali gus calon Ketua Menteri, akan ditentukan sebelum tarikh penting PRN nanti.

"Kita ada Pengerusi BPN Sabah Datuk Seri Hajiji Mohd Noor sendiri, dan sudah tentu parti-parti gabungan PN juga ada wakil masing-masing.

"Kita akan duduk bincang untuk memastikan the credible candidate to lead election nanti.

"Sudah tentu kita umum sebelum pilihan raya, untuk pastikan rakyat faham bahawa apa yang kita lakukan ini adalah untuk masa depan yang lebih baik," katanya.

Hamzah berkata demikian pada satu sidang media bersempena Mesyuarat Pimpinan Bersatu Sabah di Maggelan Sutera Harbour, di sini, pada Sabtu.




Berhubung cadangan penggunaan logo Perikatan Nasional (PN), Hamzah berkata, ia turut akan dibincangkan dengan semua pihak bagi memastikan agenda dalam PRN dapat direalisasikan.

"Kita berpendapat, PN di bawah kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah ke hadapan dari segi penerimaan rakyat seluruh negara.

"Kita akan bincang, dalam PRN Sabah nanti, sama ada nak guna logo PN atau ikut parti masing-masing. Keputusannya apabila sudah bincang dengan pemimpin parti dalam PN, secepat mungkin," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya yakin PN mempunyai ramuan tepat untuk menang besar dalam PRN Sabah.



Bagaimanapun, soal ketetapan 45 kerusi yang mahu dipertandingkan Bersatu pada PRN Sabah akan datang masih belum dimuktamadkan sepenuhnya.

"Soalnya, apabila kita sudah capai kesepakatan antara sekutu, nombor itu akan berkurangan," katanya.

Sebelum ini, Hajiji yang juga Ketua Pimpinan Bersatu Sabah, pernah mendedahkan parti itu bersedia bertanding di 45 kerusi pada PRN Sabah.