UMNO menyatakan hasrat untuk bertanding di semua kerusi dalam Kawasan Parlimen Libaran dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Ketua Penerangan UMNO Libaran, Alimunar Oto berkata, keputusan itu dibuat hasil mesyuarat semua sayap parti dan ahli jawatankuasa bahagian itu pada Jumaat.

“Mesyuarat itu dipengerusikan oleh Ketua UMNO Bahagaian Libaran, Suhaimi Nasir dan dihadiri oleh semua ahli jawatankuasa bahagian dan semua sayap parti,” katanya dalam sidang media di Markas Pilihan Raya Umno Libaran di Sandakan, pada Sabtu.

Parlimen Libaran mempunyai tiga Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Gum-Gum, Sungai Sibuga dan terbaharu, Sungai Manila.

Mengulas mengenai PRN Sabah, Alimunar menjelaskan pihaknya bersedia selain jentera UMNO dan Barisan Nasional di bahagian itu telah diaktifkan.

Malah, jelasnya, UMNO Libaran juga terbuka untuk bekerjasama dan menyokong mana-mana calon yang dipilih pucuk pimpinan gabungan UMNO.

Terdahulu, kerusi dalam kawasan Libaran antara kerusi yang hangat diperkatakan memandangkan salah satu kerusi, iaitu DUN Sungai Sibuga disandang bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman.