Salleh Said Keruak antara 31 calon UMNO bertanding dalam PRN Sabah

Assim Hassan
September 10, 2020 05:12 MYT
Beliau akan bertanding di kerusi lamanya di Usukan, Kota Belud selepas pengumuman oleh Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin sebentar tadi. - Gambar fail
Bekas Bendahari UMNO, Datuk Seri Salleh Tun Said Keruak terpilih antara 31 calon parti itu untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini.
Beliau akan bertanding di kerusi lamanya di Usukan, Kota Belud selepas pengumuman oleh Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin sebentar tadi.
Selain itu, antara muka lama yang diketengahkan oleh UMNO kali ini adalah Datuk Kamarlin Ombi.
Sementara itu, dalam sidang media Bung Moktar sebentar tadi, beliau turut menegaskan pihaknya telah mengotakan janji dengan sekurang-kurangnya menampilkan 95 peratus muka baharu untuk pencalonan berkenaan.
"Kami telah melebihi sasaran dimana sebelum ini kita berjanji kira-kira 85 peratus muka baharu sahaja.
"Dengan pengumuman ini, 95 peratus telah dikemukakan adalah calon baharu," katanya.
BACA: LAPOR LANGSUNG: PRN Sabah - Siapa akan bertanding?
Namun, Salleh Said tidak kelihatan di lokasi penamaan calon yang berlangsung di The Magellan Sutera Harbour di sini, pada Khamis.
Untuk rekod, antara 31 calon itu adalah Akram Ismail (Banggi), Harun Durabi (Bengkoka), Sufian Abdul Karim (Pitas), Mohd Arsad Bistari (Tempasuk), Datuk Seri Salleh Said (Usukan), Jasnih Daya (Pantai Dalit), Datuk Yakub Khan (Karambunai), Datuk Jumat Idris (Darau), Mohd Reduan Aklee (Tanjung Aru), Shahelmey Yahya (Tanjung Keramat), Mohd Tamin Zainal (Pantai Manis), Awang Lahap Awang Bakar (Bongawan), Datuk Kamarlin Ombi (Lumadan), Sani Miasin (Sindumin), Datuk Raime Unggi (Kemabong), Abdul Wahab Abdul Ghani (Telupid), Datuk James Ratib (Sugut), Suhaimi Nasir (Gum-Gum), Mokran Ingkat (Sungai Manila), Mohamad Hamsan Awang Supian (Sungai Sibuga), Hazulizah Md Dani (Sekong), Datuk Juhari Janan (Kuamut), Datuk Seri Bung Moktar Radin (Lamag), Datuk Jafry Ariffin (Sukau), Momen Anchai (Tungku), Halid Harun (Kunak), Abdul Manan Indanan (Sulabayan), Hamild Awang (Balung), Chaya Sulaiman (Kukusan), Andi Muhamad Surady Bandy (Tanjung Batu) dan Junaidi Sahat (Paginatan).
Terdahulu, dalam majlis pengumuman calon yang dibuat di sidang media berkenaan, Bung Moktar turut mendedahkan komponen dan sekutu Barisan Nasional (BN) akan mengumumkan senarai calon serta kerusi mereka secara berasingan.
Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang juga merupakan rakan BN dijangka mengumumkan senarai mereka kira-kira jam 3 petang ini di ibu pejabat mereka di Kota Kinabalu.
#Barisan Nasional #Bersatu #Bung Moktar Radin #Kota Kinabalu #Parti Pribumi Bersatu Malaysia #pilihan raya #PRN Sabah #Sabah Memilih #Salleh Said Tun Said Keruak #UMNO