POLITIK

Sanusi minta hidupkan kembali semangat Muafakat Nasional menjelang PRU16

Sinar Harian 28/12/2025 | 12:00 MYT
Menurut Sanusi, Pas sentiasa bersikap terbuka menerima sokongan daripada ahli UMNO yang mahu bersama perjuangan parti itu walaupun mereka masih kekal berorganisasi dalam UMNO. - Gambar fail/Bernama
ALOR SETAR: Pas meminta ahli dan penyokong UMNO supaya menghidupkan semula semangat Muafakat Nasional (MN) sebagai asas perpaduan ummah menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).


Ringkasan AI
  • Pas menggesa ahli dan penyokong UMNO untuk menghidupkan semula semangat Muafakat Nasional (MN) sebagai asas perpaduan ummah menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
  • Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, menekankan kerjasama antara Pas dan UMNO penting untuk kestabilan politik negara, dengan Pas bersedia menerima sokongan dari ahli UMNO yang ingin bergabung dengan Pas.
  • Sanusi menegaskan bahawa Pas tidak mengamalkan pilih kasih dalam kerjasama politik, meminta semua ahli Pas berusaha gigih untuk memenangi PRU16.


Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kerjasama antara Pas dan UMNO penting bagi menjamin kestabilan politik negara khususnya di peringkat akar umbi.

Menurut beliau, Pas sentiasa bersikap terbuka menerima sokongan daripada ahli UMNO yang mahu bersama perjuangan parti itu walaupun mereka masih kekal berorganisasi dalam UMNO.

“Kita ajak kawan-kawan kita dalam UMNO. Kita alu-alukan orang UMNO yang mahu bersama kita dalam Pas.

"Walaupun mereka masih dalam UMNO, berorganisasi dalam UMNO dan ketua mereka pemimpin UMNO, kita percaya khususnya orang UMNO di Sik yang celik dan cerdik akan tahu siapa yang hendak diundi.

“Dalam PRU16 nanti, saya yakin mereka akan bersama Pas,” katanya dalam satu hantaran di Facebook Perhubungan Pas Kedah pada Ahad.

Sanusi yang juga Yang Dipertua Pas Kawasan Sik dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah berkata, hubungan baik yang pernah terjalin antara ahli Pas dan UMNO sebelum ini perlu diteruskan dalam suasana saling menghormati.

Beliau berkata, pengalaman ketika MN membuktikan perbezaan parti tidak menghalang kebersamaan dalam masyarakat.

“Masa MN dulu, kenduri rumah orang UMNO, orang Pas yang sampai awal walaupun kenduri itu kenduri UMNO.

"Kita jadi kawan macam adik-beradik ketika itu. Suasana itu boleh diwujudkan kembali,” ujarnya.

Menurutnya, kesatuan dalam kalangan umat Islam harus terus diperkukuh kerana mereka berkongsi asas yang sama.

“Kita sekampung, diibaratkan adik-beradik. Kita harap perkara itu berkekalan kerana kita semua satu akidah, satu kiblat dan satu kariah.

“Kita akan bersama dengan Islam hingga akhir hayat, sama ada dalam kehidupan seharian mahupun dalam siasah, pentadbiran dan pemerintahan negara,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Sanusi yang juga Timbalan Pesuruhjaya I Pas Kedah menegaskan bahawa Pas tidak mengamalkan sikap pilih kasih dalam menjalin kerjasama politik.

“Kita tidak pilih bulu. Kita beri layanan yang sama dan adil kepada semua parti.

"Saya ajak semua ahli Pas terus bekerja kuat untuk memenangkan PRU16,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh mengesyorkan supaya MN yang sebelum ini menyaksikan kerjasama politik partinya dan Pas dihidupkan semula.

Reaksi Exco Melaka itu susulan situasi politik di Perlis selepas lapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dikatakan menghantar akuan bersumpah (SD) kepada pihak istana kerana hilang kepercayaan kepada pimpinan Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli daripada Pas yang mungkin menyaksikan pilihan raya kecil (PRK) di tiga kerusi.

Susulan daripada itu, Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari turut bersetuju dengan cadangan untuk menghidupkan semula MN seperti yang dinyatakan Muhamad Akmal.

Ahmad Fadhli menerusi hantaran Facebook berkata, merupakan satu kebangkitan semula kepada perpaduan ummah. - Sinar Harian




#Facebook #Perikatan Nasional #hilang kepercayaan #UMNO