SEREMBAN: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sepatutnya mengambil langkah memajukan negeri ditadbirnya dan bukan mengambil 'Langkah Dubai' untuk menjatuhkan kerajaan.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, tindakan pemimpin itu yang bercakap terus -terang mahu mengganggu gugat kerajaan hari ini adalah tidak bertanggungjawab.

"Sepatutnya Menteri Besar Kedah ini fokus bekerja majukan Kedah kerana telah diberikan mandat sebagai Menteri Besar, bukannya ambil langkah Chow Kit, Alor Setar dan sebagainya.

"Orang yang bercakap secara terus-terang nak buat langkah itu dan langkah ini adalah orang yang tak bertanggungjawab.

"Sebagai Menteri Besar, ahli politik sepatutnya fokus kepada kerja kita, " katanya ketika ditemui pemberita selepas hadir menyampaikan sumbangan di Sekolah Menengah Kebangsaan St Paul di sini pada Khamis.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Sanusi yang yakin Langkah Dubai akan menjadi kenyataan selain mendakwa, pemimpin Kerajaan Perpaduan pada ketika ini ibarat takut pada bayang-bayang sendiri kerana tahu akan kehilangan kuasa pemerintahan.

Mengulas lanjut Anthony Loke berkata, sebagai Menteri Pengangkutan, fokusnya hanya satu iaitu untuk melaksanakan Langkah Pendigitalan dan ia telah mula dilaksanakan, begitu juga kerajaan keseluruhannya.

Ujarnya, pihaknya percaya yang negara akan dapat berkembang lebih maju apabila adanya satu sistem maklumat yang bersepadu melalui pendigitalan.

Apa langkah yang dia (Sanusi) nak ambil, ambilah. Takpalah. Bagi kita, yang pentingnya fokus agenda kita adalah langkah pendigitalan.

"Kementerian Pengangkutan pun banyak langkah pendigitalan diambil.

"Kita nak perkasakan Jabatan Pengangkutan Jalan(JPJ), nak perbaharui cukai jalan melalui atas talian dan sekarang ini fokus kerajaan untuk mengemas kini butir-butir maklumat rakyat melalui sistem Pangkalan Data Utama(PADU)," katanya. - Sinar Harian