Saranan hidupkan semula kerjasama UMNO-Pas melalui MN tidak ikhlas - Ahmad Zahid

Bernama
Februari 25, 2024 12:45 MYT
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyampaikan ucapan semasa hadir pada Perasmian Program Penggerak Wanita RISDA (PEWARIS) hari ini. - Foto BERNAMA
CYBERJAYA: Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan saranan Pas supaya kerjasama antara kedua-dua parti melalui Muafakat Nasional (MN) dihidupkan semula sebagai tidak ikhlas.
"Kami tidak fikir mereka ikhlas dalam buat tawaran itu kerana yang keluar dari MN bukan UMNO tetapi mereka. Mereka menikam kami dari belakang, mereka lakukan kerenah melebihi daripada apa yang kita setujukan.
"Saya tidak rasa mereka ikhlas dalam buat tawaran itu," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Penggerak Wanita RISDA (PEWARIS) di sini hari ini.
Sebelum ini, Mursyidul Am Pas Datuk Hashim Jasin berkata beliau yakin kerjasama antara parti itu dan UMNO masih boleh dihidupkan kembali melalui MN.
Untuk rekod, MN adalah kerjasama yang dibentuk pada 14 Sept 2019 susulan Himpunan Penyatuan Ummah.
-- BERNAMA
#kerjasama UMNO-Pas #Muafakat Nasional #Ahmad Zahid Hamidi #tidak ikhlas #Hashim Jasin