KUCHING:Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg masih belum memutuskan bila tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN), yang akan berakhir pada April 2021 dan seterusnya Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-12.

Kata Ketua Menteri Sarawak itu, beliau masih mempertimbangkan tarikh yang sesuai dengan mengambil kira situasi COVID-19 hari ini.

Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan untuk meneruskan PRN Sarawak, walaupun pandemik itu masih belum reda.

“Bagi kami (kerajaan), kami mesti melihat kedua-dua belah pihak. Kerana kami tidak dapat meramalkan bila COVID-19 akan reda dan kami juga tertakluk kepada nasihat Kementerian Kesihatan sama ada (PRN) dapat diteruskan atau tidak.

“(Pertimbangan) kerana kami juga mementingkan kesihatan rakyat tetapi pada masa yang sama kami tidak dapat memerintah dan mengatur langkah menangani COVID-19 jika tiada mandat," katanya.

Beliau menjawab soalan pemberita yang menanya mengenai tarikh pembubaran DUN dan PRN Sarawak pada Sidang Media Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) di Kuching pada Jumaat.

Abang Johari mengakui, perkara itu adalah situasi sukar serta rumit selain sebarang keputusan perlu mempertimbangkan setiap faktor.

Sementara itu, beliau menyerahkan kepada kebijaksanaan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam urusan penetapan prosedur operasi standard (SOP) bagi pelaksanaan pilihan raya.

"Situasi politik di Sarawak berbeza dengan Sabah yang terpaksa mengadakan pilihan raya negeri baru-baru ini," katanya.

Selain itu, Abang Johari berkata, pihaknya akan mengkaji kejayaan proses demokrasi di New Zealand, Singapura dan Korea Selatan.