KUCHING: Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-12 Sarawak boleh diadakan sebelum tempoh darurat tamat pada 2 Februari 2022, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Jelasnya, terdapat dua perkara dalam Ordinan Darurat Sarawak 2021 yang membolehkan situasi itu berlaku selari dengan bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustaffa Billah Shah.

“Yang pertama, darurat ini boleh disingkatkan oleh Yang di-Pertuan Agong kalau diperlukan.

“Yang kedua, pilihan raya boleh diadakan kalau Yang di-Pertuan Agong bersetuju dengan persetujuan Kerajaan Negeri iaitu Yang di-Pertua Negeri dan Ketua Menteri.

‘’Jadi kalau ini boleh didapatkan, saya cukup yakin soalan darurat itu tidak berbangkit lah masalah,” katanya.

Wan Junaidi berkata demikian semasa sidang media Majlis Pecah Tanah Masjid Mutiara Iman Taman Sepakat Jaya, Demak Laut pada Sabtu.

Tambahnya lagi, tidak ada masalah dalam aspek undang-undang untuk melaksanakan PRN-12 Sarawak lebih awal daripada yang dijadualkan.

Sementara itu, semasa berucap di majlis sama, Wan Junaidi yang juga Ahli Parlimen Santubong mendedahkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut, Hazland Abang Hipni akan terus bertanding untuk kerusi itu bagi PRN-12 akan datang.

“Sebab itulah saya panggil Hazland untuk berucap tadi kerana beliau adalah bakal calon kita jadi dia kenalah beri ucapan. Ketika ini saya fikir tak ada orang lain lah (sesuai dicalonkan).

‘’Jadi kita minta dia promosikan diri kerana kita tidak tahu bila pilihan raya,” ujarnya.

Pada masa sama, ketika disoal sama ada kesemua ADUN di dalam kawasan Parlimennya termasuk ADUN Pantai Damai, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi dan ADUN Tanjong Datu, Datuk Amar Jamilah Anu akan terus mempertahankan kerusi mereka, beliau yakin mereka masih boleh berkhidmat dan mendapat sokongan rakyat.

“Saya belum diberitahu secara rasmi kalau ada pertukaran (calon) tetapi pandangan saya Datuk Amar Jamilah menjalankan tugas dengan baik tapi jika beliau nak mengundur diri itu adalah di antara beliau sendiri dengan Ketua Menteri.

“Kesemua mereka termasuk Abdul Rahman, Hazland masih muda bertenaga dan masih mendapat sambutan ramai,” katanya lagi.