Saya harap pemimpin Pas bertenang sahaja - Husam

Sinar Harian
Mei 1, 2018 03:24 MYT
Husam menyampaikan ceramah di Kota Bharu, malam tadi. Foto Sinar Harian
“Cool... (bertenang),” itu nasihat Pengerusi Pakatan Harapan Kelantan, Husam Musa kepada semua pihak walaupun Pas kelihatan ‘panas’ berhubung keputusan Nik Omar Nik Abdul Aziz.
Menurutnya, semua pihak tidak perlu melayan tindak tanduk pemimpin Pas yang memperlihatkan ‘kepanasan’ mereka memandangkan Nik Omar telah pun membuat keputusannya sendiri dan berusaha mencapai kemenangan demi rakyat dan negara.
“Ini membuktikan Nik Omar menyumbang positif kepada kekuatan Pakatan Harapan dan kepada semua pemimpin Pas untuk terus bertenang memandangkan banyak lagi kelatahan dibuat pemimpin Pas yang boleh menimbulkan kesan negatif kepada Pas sendiri.
“Saya merujuk kepada kenyataan secara umum melibatkan kepimpinan tertinggi Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, Datuk Takiyuddin Hassan, Nik Abduh Nik Abdul Aziz dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
“Saya harap mereka dapat bertenang dan tidak mendedahkan Pas dengan kesan negatif yang besar, sekali gus menganggap ini satu perkembangan politik demokrasi Malaysia,” katanya kepada media selepas menyampaikan ceramah.
Ketika diminta mengulas mengenai keretakan hubungan keluarga Nik Omar, beliau menjelaskan perkara tersebut tidak perlu diulas panjang memandangkan ia merupakan privasi semua pihak.
#calon #ceramah #Husam Musa #keluarga #MalaysiaMemilih #Nik Abduh Nik Abdul Aziz #Nik Abdul Aziz Nik Mat #Nik Omar Nik Abdul Aziz #Pakatan Harapan #PAS #pilihan raya umum #PRU14 #tenang