Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim ‘mempelawa’ Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk bekerjasama dengan gabungan beliau.

Menurut Anwar, beliau tiada masalah peribadi dengan Muhyiddin dan mempersilakan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu untuk bekerjasama.

“Tan Sri Muhyiddin, sekarang ini, dengan jumlah ini, jatuh sebagai perdana menteri.

"Saya persilakan dia untuk bekerjasama. Saya tiada masalah peribadi dengan beliau.

“Kesediaan dia bekerjasama akan membantu supaya perubahan, peralihan itu aman dan teratur.

“Seandainya beliau bersedia, beliau boleh bersedia berkhidmat dengan apa-apa kedudukan yang sesuai,” katanya dalam sidang media tergempar di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada Rabu.


BACA: Kerajaan Tan Sri Muhyiddin telah jatuh - Anwar

BACA: Muhyiddin angkat sumpah Perdana Menteri ke-8

Dalam sidang media sama, Anwar sebelum itu mendakwa beliau mempunyai majoriti kukuh untuk membentuk kerajaan baharu dalam masa terdekat dan menegaskan kerajaan pimpinan Muhyiddin "telah jatuh."

“Dengan sokongan dan majoriti kukuh dan meyakinkan, bermakna pada saat ini kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin telah jatuh,” katanya disambut tepukan, sorakan dan laungan ‘reformasi’ daripada penyokongnya.



Tambah beliau, maklumat dan langkah selanjutnya akan dimaklumkan selepas beliau bertemu Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam masa terdekat.

Tegas Anwar, beliau telah diperkenankan untuk mengadap Al-Sultan Abdullah pada Selasa lepas jam 11 pagi namun terpaksa ditangguhkan kerana baginda menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).

Muhyiddin secara rasmi diangkat menjadi perdana menteri kelapan pada 1 Mac lepas, sekali gus menamatkan kemelut politik yang melanda negara sejak 22 Februari.