Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berharap pemimpin parti itu tidak lagi mengkritik secara melulu dan terbuka segala langkah-langkah memperkukuhkan parti.

Ketika menyampaikan ucapan penggulungan sempena Perhimpunan Agung UMNO ke-72 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini, beliau berkata, seluruh lapisan parti harus bermuafakat dan tidak menimbulkan persepsi bahawa mereka tidak bersatu.

“Jangan kritik sebelum lihat. Ya, saya raikan kritikan, tapi jangan melulu, apa saja kita lakukan semua tak betul, yang betul dia saja.

“Jika ada di kalangan kita yang cuba menebuk kapal dari dalam sehingga ia tenggelam, maka saya fikir itu bukan lagi perbedaan pendapat, itu adalah pengkhianat parti,” katanya lagi.

Ahmad Zahid berkata, beliau mengamalkan sikap berbincang terlebih dahulu, dan pintunya sentiasa terbuka kepada mana-mana pihak untuk melontarkan kritikan, selagi mana ia dilakukan dengan adab, dan disusuli dengan langkah-langkah bagi memperbaiki permasalahan itu.

Terdahulu, beberapa perwakilan turut menggunakan pentas perbahasan untuk melontarkan rasa ketidakpuashatian mereka terhadap sikap pemimpin parti yang secara terbuka mempersoalkan kepimpinan UMNO.

Perwakilan Kuala Lumpur, Tun Faisal Ismail Aziz, sewaktu berucap, melahirkan kekesalan apabila pemimpin yang mengkritik itu tidak hadir pemukiman yang dijalankan parti.

Selain itu, perwakilan dari Sabah, yang juga bekas Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia turut menganggap perbuatan itu sebagai bertentangan dengan prinsip parti, dan perlu dikenakan tindakan displin.

Dalam sidang media kemudiannya, Ahmad Zahid menjelaskan, beliau tidak mahu menuding jari ke mana-mana pihak, dan biar pun perkara itu berlaku, bekas Timbalan Perdana Menteri itu tidak berhasrat untuk membawa perkara itu ke perhatian Lembaga Displin parti.

“Kita harus, dalam usaha untuk meraikan perbedaan, pandangan, maka kita tidak boleh mengambil satu tindakan itu kerana semata-mata layani perbedaan pandangan,” ujarnya lagi.

Namun, beliau bertegas mahu perkara seperti itu dihentikan, kerana ia hanya akan meningkatkan persepsi negatif rakyat terhadap parti itu.