KUALA LUMPUR:Veteran DAP, Lim Kit Siang menjelaskan, beliau memberi sokongan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim setelah dipersetujui oleh DAP, PKR dan Amanah.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu menegaskan perkara itu sebagai menyangkal dakwaan Tun Dr Mahathir Mohamad pada Rabu berhubung keruntuhan kerajaan Pakatan Harapan pada 2020.

Dalam satu tulisan panjang pada Rabu, Dr Mahathir menyalahkan Kit Siang kerana menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri ketika pertemuan semua Ahli Parlimen dengan Yang di-Pertuan Agong.

"Perkara ini hanyalah sangkaan Mahathir sendiri. Untuk rekod, keputusan Pakatan Harapan untuk menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri — selepas peletakan jawatan secara mengejut oleh Mahathir — dibuat secara sebulat suara oleh semua parti komponen PH — DAP, PKR, dan Amanah.

"PH mencapai keputusan ini selepas Mahathir enggan untuk terus menjadi Perdana Menteri PH dan enggan untuk mematuhi dan terikat dengan manifesto pilihan raya umum PH.

"Perlunya ada seorang Perdana Menteri PH dan sebuah kerajaan PH untuk mempertahankan dan menghormati mandat yang telah diberikan oleh rakyat dalam Pilihan Raya Umum 2018.

"Amat malang sekali apabila Mahathir masih enggan untuk bertanggungjawab di atas kesilapan besar beliau apabila beliau meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri sedangkan beliau masih mempunyai sokongan majoriti Ahli-ahli Parlimen, daripada PH, Warisan dan juga Bersatu," katanya.
BACA: Dakwaan Tommy Thomas YDP Agong mahukan Wan Azizah karut - Tun Mahathir


Isu peletakan jawatan Dr Mahathir dan pelantikan Perdana Menteri Interim timbul kembali selepas bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas menerbitkan memoirnya,“My Story: Justice in the Wilderness”.

Tommy mendakwa Yang di-Pertuan Agong mahukan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Perdana Menteri Interim namun Dr Mahathir mencalonkan dirinya sendiri.