Saya sudah telefon Tun M maklum Port Dickson pilihan saya - Anwar Ibrahim

Astro Awani
September 12, 2018 08:53 MYT
ANWAR: Saya beritahu bahawa kami akan terus menyatakan sokongan padu kepada Tun Mahathir untuk terus menerajui negara.
Bakal Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menelefon dan memaklumkan kepada perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai keputusan untuk bertanding di Parlimen Port Dickson.
Dalam temu bual eksklusif rancangan "AI" bersama Pengarang Kanan Astro AWANI Ashwad Ismail melalui Skype, Anwar berkata akan terus memberikan sokongan kepada kepimpinan perdana menteri.
"Saya beritahu bahawa kami akan terus menyatakan sokongan padu kepada Tun Mahathir untuk terus menerajui negara," kata Anwar.
Sementara itu, Anwar turut mengaku terkesan dengan pendirian Ahli Parlimen Datuk Daniyal Balagopal Abdullah.
"Saya tertarik dengan kawasan Teluk Kemang ini dan saya juga terkesan dengan personaliti Laksamana Daniyal ini.
"Dia tidak berbicara soal undur. Dia berbicara soal berdamping dan bersama untuk membentuk pasukan yang mantap," kata Anwar sebentar tadi.
Anwar pada Rabu mengesahkan akan bertanding di kerusi tersebut sebagai salah satu langkah pelan peralihan kuasa ke atas beliau untuk menjadi perdana menteri seterusnya.
BACA: Anwar Ibrahim sah bertanding di Port Dickson
Sementara itu, Speaker Dewan Rakyat Datuk Mohamad Ariff Md Yusof mengesahkan sudah menerima surat peletakan jawatan Danyal Balagopal yang mengosongkan kerusinya bagi memberi laluan kepada Anwar.
BACA: Speaker terima surat peletakan jawatan Ahli Parlimen Port Dickson
LAPORAN LANJUT DALAM "AI", KHAMIS 8.30 MALAM
#Anwar Ibrahim #Daniyal Balagopal Abdullah #Dewan Rakyat #Mahathir Mohamad #Mohamad Ariff Md Yusof #PKR