KUALA LUMPUR: Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz mengesahkan menerima surat dari Datuk Seri Ahmad Maslan hari ini yang meminta Ahli Parlimen UMNO menyatakan pendirian mereka sebelum 7 Ogos ini.

Ahli Parlimen Padang Rengas itu bagaimanapun menegaskan beliau tidak akan menjawab surat yang dihantar oleh Setiausaha Agung UMNO itu.

“Saya mengesahkan telah menerima surat dari Setiausaha Agung UMNO menerusi WhatsApp hari ini.

“Saya tidak akan jawab surat tersebut kerana saya tidak melakukan sebarang kesalahan.

“Yang sepatutnya diberi surat tunjuk sebab adalah Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kerana beliau jelas menlanggar keputusan Perhimpunan Agung UMNO 2020.

BACA: UMNO beri tempoh sehingga Sabtu untuk semua Ahli Parlimennya nyatakan pendirian

“Ini jelas menerusi audio perbualan beliau dgn Anwar selepas PAU pada Mac lalu yang tersebar sebelum ini.

“Selain itu saya sudah menyatakan Zahid perlu berjumpa semua Ahli Parlimen UMNO dan menjelaskan apa yang beliau lakukan tapi sampai sekarang dia tak nak jumpa,” katanya kepada Astro AWANI.

Selain itu, Mohamed Nazri juga menegaskan sebagai Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) beliau hanya akan akur dengan keputusan yang dibuat Dewan Tertinggi BN.

“Saya adalah Ahli Parlimen BN, jika Dewan Tertinggi BN mengarahkan saya menarik sokongan barulah saya akan tarik sokongan,” katanya lagi.

Sebelum ini, Astro AWANI melaporkan Setiausaha Agung UMNO telah menghantar surat kepada semua Ahli Parlimennya agar menyatakan pendirian mereka secara bertulis.

Surat itu meminta semua ahli parlimen UMNO menjawab borang yang dikepilkan sebelum 7 Ogos.

Menerusi borang tersebut, semua Ahli Parlimen UMNO diminta menyatakan pendirian sama ada tidak menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan meletak jawatan atau menyokong PN dan tidak akan meletak jawatan.