[TERKINI] Skandal 1MDB: Bradley Hope Dedah Jho Low Hidup Mewah di Shanghai – Dapatkan Perincian Di Sini
POLITIK

Saya tak berminat terima jawatan tertinggi mana-mana parti - Rafizi

Ernalisa Othman 01/06/2025 | 10:30 MYT
Rafizi (foto) menegaskan tidak berminat menerima sebarang jawatan tertinggi dalam mana-mana parti, termasuk jawatan Timbalan Presiden PKR, dan akan kekal berkhidmat sebagai ahli biasa. -Gambar fail
AMPANG: Mantan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Rafizi Ramli menyatakan tidak berhasrat dan tidak berminat untuk menerima sebarang jawatan tertinggi jika ditawarkan mana-mana parti.


Ringkasan AI
  • Datuk Seri Rafizi Ramli menegaskan beliau tidak berminat menerima sebarang jawatan tertinggi dalam mana-mana parti, termasuk jawatan Timbalan Presiden PKR, dan akan kekal berkhidmat sebagai ahli biasa.
  • Beliau menyatakan fokusnya kekal kepada perjuangan dan tanggungjawab sebagai Ahli Parlimen, tanpa kaitan dengan mana-mana individu atau parti lain termasuk PKR, UMNO atau Kerajaan Perpaduan.
  • Kenyataan ini dibuat selepas kekalahannya kepada Nurul Izzah Anwar dalam pemilihan Timbalan Presiden PKR 2025, di mana Nurul Izzah memperoleh 9,803 undi berbanding 3,866 undi yang diraih Rafizi.


Bagaimanapun, beliau memberitahu, akan tetap meneruskan baktinya untuk rakyat.

"Saya memang dah nyatakan dari awal, saya tidak terima apa-apa tawaran jawatan.

"Malah Nurul Izzah masa jumpa saya, cuba nak bawa kalau ada Timbalan Presiden dilantik. Saya kalau ada Timbalan Presiden pun, kalau Presiden dilantik pun, saya tak berminat kerana ia bukan soal jawatan; ia soal perjuangan yang kita nak bawa.

"Saya akan kekal sebagai ahli dan tanggungjawab saya sama seperti sebelum ini," kata Rafizi.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyempurnakan Karnival Belia Madani 2.0, Parlimen Pandan 2025, di sini, pada Ahad.

Dalam pada itu, Rafizi yang ditanya media mengenai perancangannya selepas ini berkata: "Perancangan saya selepas ini tiada kena-mengena dengan Tengku Zafrul, dengan PKR ke, UMNO ke, Kerajaan Perpaduan, itu hak saya sebagai Ahli Parlimen dan akar umbi. Kalau ada pimpinan akar umbi, contoh di Sabak Bernam, kamu tak tanya dia perancangan pun, kan?"

Baru-baru ini, proses pemilihan yang berlangsung bersekali dengan Kongres Nasional PKR 2025 di Johor Bahru, Johor menyaksikan beberapa perubahan dalam barisan kepimpinan utama parti, termasuk kekalahan beberapa penyandang jawatan utama.

Sebelum ini, Naib Presiden, Nurul Izzah Anwar disahkan menewaskan Rafizi dan merampas jawatan sebagai Timbalan Presiden parti.

Selain Rafizi, pemimpin utama PKR lain yang turut tewas adalah Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad yang kalah dalam perebutan empat slot utama jawatan Naib Presiden.

Keputusan rasmi jawatan Timbalan Presiden PKR itu diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa dalam Kongres Nasional Keadilan di Persada Johor International Convention Centre, Johor Bahru baru-baru ini.

Nurul Izzah, yang juga bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh, memperoleh 9,803 undi menewaskan penyandang jawatan Datuk Seri Rafizi Ramli yang meraih 3,866 undi.






#Rafizi Ramli #peletakan jawatan #PKR #jawatan tertinggi #ahli Parlimen