POLITICS

'Saya takut kehilangan Rafizi daripada PKR' - Saifuddin Nasution

Siti Nur Aqilla Omar 24/05/2025 | 07:30 MYT
Saifuddin memohon maaf kepada Anwar Ibrahim atas teguran lalu, dan menyeru agar Presiden PKR memujuk pemimpin yang terluka selepas pemilihan parti. - Gambar fail
JOHOR BAHRU: Bekas Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengalirkan air mata ketika menceritakan detik bersama Datuk Seri Rafizi Ramli, selepas pengumuman keputusan Majlis Pimpinan Pusat (MPP), malam tadi.


Ringkasan AI
  • Saifuddin Nasution sebak dan menangis ketika menyebut Rafizi Ramli, menyatakan kebimbangannya kehilangan tokoh penting itu dari PKR serta mengenang hubungan lama mereka sejak Rafizi pulang dari luar negara.
  • Beliau mengakui kadangkala berbeza pandangan dengan Rafizi, namun tetap menghargai bakat politiknya dan menyeru agar bakat seperti Rafizi terus dipelihara demi masa depan parti.
  • Saifuddin memohon maaf kepada Anwar Ibrahim atas teguran lalu, dan menyeru agar Presiden PKR memujuk pemimpin yang terluka selepas pemilihan parti, sambil memberi amanat kepada Nurul Izzah untuk bersedia memikul tanggungjawab besar sebagai Timbalan Presiden.


Saifuddin yang juga Ketua Sekretariat Pakatan Harapan (PH), merasa sebak apabila menyebut nama Rafizi ketika diberi peluang untuk melakukan penggulungan pada Kongres Nasional PKR 2025, hari ini.

"Saya berpeluk dan minta maaf kepada Rafizi semalam, menangis dan sebak. Saya setuju mengakui bahawa saya takut kehilangan Rafizi dari parti ini.

"Saya sedang bercakap dari hati dan amat berharap mesej ini 'sampai' kepada beliau.

"Ketika saya jadi Timbalan Ketua Pemuda UMNO, Rafizi ketika itu masih belajar di London dan pulang selepas 10 tahun.

"Saya sambut Rafizi di Johor Bahru bila dia pulang ke negara ini dan kami berbincang dari hati ke hati, hala tujunya sebelum kemudian memilih bekerja dengan PETRONAS," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ucapan penggulungan di Kongres Nasional PKR 2025, di sini, hari ini.

Turut hadir dalam sesi penggulungan itu ialah Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata kebimbangan terhadap kehilangan potensi dan bakat Rafizi menyebabkan beliau pernah melantik Naib Presiden PKR itu sebagai penulis ucapannya ketika berkhidmat di Selangor.

Katanya, meskipun terdapat banyak perkara yang beliau sependapat dengan Rafizi, tidak kurang juga pandangan yang berbeza antara mereka.

"Ketika kempen pemilihan, Rafizi cakap tak dapat terima jika Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim beri peluang kepada ahli baharu yang kemudian terus naik (ketika pemilihan) dalam PKR dalam tempoh singkat.

"Kempen Rafizi dan Nurul Izzah merebut jawatan Timbalan Presiden kecoh dan panas, sebelum saya ambil peluang duduk bersama keduanya selama berjam-jam untuk selami isi hati mereka.

"Kemudian saya laporkan input yang diperoleh dari mereka kepada Presiden. Kita kena jaga 'talent' politik sebagus Rafizi. Betul ada beza kerenah namun kita bukan datang dari satu acuan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Saifuddin turut memohon maaf kepada Anwar, atas kelantangannya menegur dan mengkritik pimpinan tertinggi parti sebelum ini.

“Jika ada jurang antara apa yang Datuk Seri cakap dan buat, saya akan jadi orang pertama yang bersuara.
Saya akan bangkit dan tegur, sekalipun ia menyebabkan saya hilang jawatan – saya tiada masalah,” katanya.

Beliau turut menyeru Presiden PKR agar segera memujuk mana-mana pemimpin yang mungkin terluka hati susulan proses pemilihan parti yang baru berakhir.

“Akan ada yang terluka dan terbakar hati, cuma mungkin tidak dizahirkan. Datuk Seri bukan sahaja bapa kepada Nurul Izzah, tetapi juga bapa kepada kami semua.

"Pujuklah mereka supaya parti dapat diperkukuhkan menjelang PRN Sabah dan PRU16,” ujarnya.

Saifuddin turut menitipkan pesanan khusus buat Timbalan Presiden yang baharu, Nurul Izzah, agar bersedia memikul amanah besar parti.

"Jawab soalan pertama, 'what is the difference when given the 'amanah' dan how to make difference from another leader before this.

"Ingat lepas ini tiada rehat. Nurul Izzah boleh pergi Mekah dan berehat sementara namun selepas
ini atur dulu Naib Presiden parti kerana PRN Sabah menanti.

"Kurangkan pertembungan dan kurangkan perbalahan yang melemahkan parti," katanya.


#pemilihan PKR #Rafizi Ramli #Saifuddin Nasution #Anwar Ibrahim