'Saya tidak terlibat atau sokong Anwar' - Mahdzir Khalid

Fauzi Suhaimi
September 24, 2020 09:32 MYT
Mahdzir yang juga Naib Presiden UMNO berkata, laporan sebuah portal berita dalam talian itu adalah tidak benar. - Gambar fail/BERNAMA
Ahli Parlimen Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid menafikan sekeras-kerasnya beliau terlibat atau menyokong gerakan penubuhan kerajaan baharu yang diketuai Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau yang juga Naib Presiden UMNO berkata, laporan sebuah portal berita dalam talian itu adalah tidak benar.
"Saya, Mahdzir Khalid, menafikan sekeras-kerasnya bahawa saya pernah atau terlibat menyokong gerakan penubuhan kerajaan baharu yang diketuai oleh Ahli Parlimen Port Dickson, seperti yang dilaporkan oleh sebuah portal berita dalam talian," katanya dalam satu kenyataan ringkas di sini pada Khamis.
Terdahulu, laporan sebuah portal berita itu menyenaraikan Mahdzir antara 19 Ahli Parlimen UMNO yang menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri ke-9.
Antara lain termasuk Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Razak; Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dan Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar.
BACA: Anwar dakwa ada majoriti kukuh
BACA: Kerajaan dibentuk kelak adalah rencana saya untuk kembalikan mandat rakyat - Anwar
BACA: UMNO, BN tidak dapat halang Ahli Parlimennya mahu sokong Anwar - Ahmad Zahid
Ahmad Zahid pada Rabu berkata, UMNO dan BN tidak dapat menghalang Ahli-Ahli Parlimen parti itu untuk mengambil keputusan menyokong Anwar yang berhasrat untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong.
#Anwar Ibrahim #kerajaan #Mahdzir Khalid #Najib Razak #Noh Omar #Parlimen #Perdana Menteri #PKR #Politik Malaysia #presiden #Tengku Adnan Tengku Mansor #Zahid Hamidi