KUALA LUMPUR: Penasihat DAP, Lim Kit Siang mengakui, beliau langsung tidak pernah mendengar sebarang khabar angin mengenai usaha pihak tertentu cuba menarik Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim menyertai Langkah Sheraton.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata, bahkan, perkara itu langsung tidak pernah disebut oleh Anwar dalam pertemuan mereka sebelum ini, sejak kerajaan PH dijatuhkan pada Februari tahun lepas sehingga hari ini.

Menurut Kit Siang, beliau hanya mengetahui perkara itu melalui laporan media berhubung wawancara Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad dengan media semalam.

“Ini adalah kali pertama saya mendengar cerita bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim telah dijemput untuk membawa PKR untuk menyertai Langkah Sheraton. Namun, Presiden PKR tersebut telah menolak tawaran untuk menyertai kerajaan baharu tersebut dan memilih untuk kekal setia dengan PH.

“Versi yang diceritakan oleh Setiausaha Organisasi PKR yang juga merupakan Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad, dalam satu wawancara bersama dengan Malaysian Insight semalam adalah perkara baharu bagi saya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam satu wawancara dengan portal The Malaysian Insight minggu lalu, Nik Nazmi dilaporkan berkata  Ahli Parlimen Port Dickson itu pernah ditawarkan untuk menjadi sebahagian daripada “Langkah Sheraton” namun ditolak.

“Anwar tidak sanggup untuk tinggalkan sekutu PH, DAP kerana penyokong Langkah Sheraton hanya mahukan PKR dan bukan DAP,” katanya seperti dilaporkan dalam portal itu.

Sementara itu, Pengarah Pendidikan Politik DAP, Liew Chin Tong berkata, sepanjang minggu selepas Langkah Sheraton dari 23 ke 29 Februari, beliau terlibat dalam banyak mesyuarat dan pertemuan bersama lingkaran dalaman Anwar dan setiap daripadanya mempunyai rekod dan nota peribadi.

Idea untuk menjemput Anwar untuk membentuk kerajaan tanpa DAP, katanya lagi, tidak pernah bangkit, kerana tujuan asal utama Langkah Sheraton adalah untuk mengeluarkan Anwar daripada sifir terbabit.