Selangor bukan lagi 'Darul Sampah' atau 'Darul Denggi' kalau BN pegang - PM Najib

Firdaus Azil
April 14, 2018 05:12 MYT
Datuk Seri Najib, yang juga Pengerusi BN berkata, negeri itu tidak seharusnya diberi jolokan Darul Sampah atau Darul Denggi hanya kerana kegagalan kerajaan negeri pimpinan PKR menyelesaikan masalah itu. - Gambar hiasan
Sekiranya berjaya mendapat mandat sewaktu Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU) nanti, Barisan Nasional (BN) memberi jaminan akan menyelesaikan tiga masalah utama yang membelenggu penduduk di Selangor, iaitu masalah air, masalah sampah dan masalah wabak Denggi, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Datuk Seri Najib, yang juga Pengerusi BN berkata, negeri itu tidak seharusnya diberi jolokan ‘Darul Sampah’ atau ‘Darul Denggi’ hanya kerana kegagalan kerajaan negeri pimpinan PKR menyelesaikan masalah itu.
"Sekarang masalah air di Selangor, kita letak paling tinggi sekali untuk diselesaikan, tetapi ini pula masalah sampah dan denggi. Kita tidak mahu Selangor menjadi Darul Sampah atau Darul Denggi,” katanya sewaktu berucap di Majlis Pecah Tanah Projek Naik Taraf Hospital Kajang di Sungai Jelok, di sini hari ini.
BACA: 'Langkah Kajang' BN lebih bermanfaat kepada rakyat - PM Najib
Turut hadir di majlis itu ialah Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar, dan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.
Datuk Seri Najib berkata, walaupun projek itu bertujuan untuk memberikan kemudahan hospital kepada golongan wanita, ibu, dan kanak-kanak, namun seperti yang Tan Sri Noh membisikkan kepadanya, apa guna hospital moden kalau bekalan air pun tiada.
#air #Barisan Nasional #denggi #Kajang #kesihatan #Malaysia Memilih #Najib Razak #Noh Omar #Noor Hisham Abdullah #Perdana Menteri #pilihan raya umum #PKR #PRU14 #S Subramaniam #sampah #wanita