[TERKINI] Muhyiddin letak jawatan Pengerusi PN. Pimpinan Johor, Selangor, Perak dan Negeri Sembilan ikut langkah sama. Ikuti perkembangan di sini
POLITIK

Semua ADUN Bersatu akan dilantik sebagai Exco - MB Perlis

Abdul Hadi Che Awang 30/12/2025 | 11:35 MYT
Abu Bakar bercakap ketika ditemui media di Pejabat Menteri Besar Perlis, Kangar pada Selasa. - Foto Astro AWANI
KANGAR: Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah memaklumkan bahawa kesemua baki empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan dilantik bagi mengisi jawatan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) negeri itu.

Menurut beliau, keputusan itu terpaksa dibuat berikutan kenyataan yang dikeluarkan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan bahawa ADUN-ADUN dari parti itu tidak akan menggotai barisan Exco yang akan dibentuk oleh Menteri Besar Perlis yang baharu.

Tambahnya, perlantikan kesemua ADUN berkenaan juga adalah sah bagi mengisi jawatan Exco berdasarkan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perlis.

Bagaimanapun, ADUN Kuala Perlis itu memaklumkan akan terlebih dahulu mendapatkan pandangan dan nasihat daripada kepimpinan Bersatu di peringkat Pusat sebelum apa jua keputusan berkaitan dapat diputuskan.

"Sekarang ini kita tidak ada pilihan, hanya yang parti Bersatu selain dari saya, ada empat lagi yang merupakan ADUN-ADUN yang telah menang masa PRU15, jadi tidak ada salah dan tidak ada kurang lah, terpaksa kita memberi ruang kepada mereka untuk memberi perkhidmatan kepada rakyat Perlis dalam membangunkan negeri, meneruskan legasi Perikatan Nasional tanpa diduduki ataupun bersama dengan Pas yang duduk dalam barisan Kabinet Kerajaan Negeri Perlis.

"Insya-Allah, (perlantikan Exco) ini dia tidak akan ada masalah sebab minimum perlantikan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan adalah empat, maknanya kita ada empat (ADUN) tanpa Menteri Besar, kalau dengan Menteri Besar ada lima orang, maknanya kita boleh meneruskan untuk penyusunan lantikan ahli majlis mesyuarat kerajaan dengan seberapa segera," katanya.

Abu Bakar berkata demikian ketika ditemui media di Pejabat Menteri Besar Perlis, Kangar pada Selasa.

Dalam perkembangan sama, beliau tidak menolak kemungkinan bahawa tiga ADUN yang telah diberhentikan keahlian sebagai ahli Pas turut alan dilantik sebagai Exco sekiranya status kesemua mereka masih kekal sebagai ADUN selain tidak berlaku Pilihan Raya Kecil (PRK) di DUN masing-masing.

Terdahulu, Takiyuddin menerusi satu kenyataan memaklumkan bahawa Pas tidak akan menganggotai Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang akan dibentuk oleh Menteri Besar Perlis yang baharu.

Tegasnya, semua anggota Exco sedia ada daripada Pas juga akan melepaskan jawatan masing-masing sebagai tanda solidariti dan seiring dengan peletakan jawatan bekas Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli.

Tambah beliau, parti itu komited untuk meneruskan kelangsungan dan keberadaan Pas dalam Kerajaan Negeri Perlis selaras dengan mandat yang telah diberikan oleh rakyat pada PRU-15.








#Menteri Besar Perlis #Abu Bakar Hamzah #Exco Perlis #Adun Bersatu #terkini