Senarai calon penuh BN Sarawak diserah kepada Pengerusi BN Pusat - Abang Johari

Anthea Yap
Oktober 8, 2017 10:08 MYT
ABANG JOHARI: Saya serahkan kepada Pengerusi BN.
Ketua Menteri Datuk Abang Johari Tun Openg mengesahkan sudah menerima senarai penuh calon Barisan Nasional (BN) Negeri yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) akan datang.
Beliau seterusnya menyerahkan keputusan itu kepada Perdana Menteri merangkap Pengerusi BN Pusat, Datuk Seri Najib Razak.
"Saya sudah menerima senarai calon bagi PRU14 dan saya serahkan kepada Pengerusi BN," katanya ketika ditemui selepas program Lan Berambeh di ibu negara pada Sabtu.
Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan lebih lanjut berhubung perkara itu dan hanya menyerahkannya kepada Datuk Seri Najib.
Pada PRU 2013, Sarawak mempunyai 31 kerusi Parlimen dan daripada jumlah itu, 25 kerusi dimenangi oleh BN.
Parti Pesaka Bumiputera (PBB) pada PRU berjaya mengekalkan kesemua 14 kerusi yang dipertandingkan.
Sementara itu, lima kerusi telah ditawan Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan satu oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR).
#Abang Johari Tun Openg #Barisan Nasional #BN #pengerusi BN najib razak #PRU14 #Sarawak #senarai calon