Serangan terhadap Shafie, taktik GRS-PH tutup kegagalan sendiri - Wira Warisan

Mohammad Norizhuan (gambar) berkata, Mohd Shafie telah membuktikan keupayaan kepimpinan beliau sewaktu menerajui kerajaan negeri dengan integriti - Foto Wira Warisan
KOTA KINABALU: Wira Warisan Sabah memandang serius terhadap siri serangan berterusan yang dilemparkan terhadap Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal oleh pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH).
Ketua Penerangan Wira Warisan Pusat, Mohammad Norizhuan Awang berkata, serangan tersebut didakwa jelas memperlihatkan ketakutan dan keresahan mereka terhadap pengaruh serta kebangkitan rakyat yang semakin menyokong perjuangan Warisan.
"GRS-PH kini berada dalam keadaan terdesak dan kehilangan arah setelah gagal menangani pelbagai isu asas yang menekan kehidupan rakyat.
"Ini termasuk kerosakan jalan raya yang berlarutan, ketiadaan bekalan air dan elektrik, kekurangan peluang pekerjaan khususnya dalam kalangan belia, serta pelbagai pendedahan skandal rasuah yang melibatkan pemimpin tertinggi kerajaan negeri."Sebagai jalan mudah, mereka memilih untuk menyerang Mohd Shafie dan Warisan sebagai taktik mengalihkan perhatian rakyat daripada kelemahan serta kegagalan mereka sendiri," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Mohammad Norizhuan berkata, Mohd Shafie telah membuktikan keupayaan kepimpinan beliau sewaktu menerajui kerajaan negeri dengan integriti, visi yang jelas dan prinsip yang teguh, serta meletakkan kepentingan rakyat Sabah sebagai keutamaan utama.
Sebaliknya, dakwa beliau GRS dilihat terus menundukkan kehendak rakyat kepada arahan Pusat dan sibuk mempertahankan kedudukan masing-masing berbanding memperjuangkan nasib rakyat.
"Mereka sedar bahawa suara Mohd Shafie semakin lantang kedengaran di akar umbi, dan rakyat semakin sedar siapa sebenarnya pemimpin yang benar-benar ikhlas memperjuangkan masa depan negeri ini," tambahnya.
Sehubungan itu, Wira Warisan Sabah menegaskan bahawa politik fitnah, tohmahan dan serangan peribadi tidak akan sesekali mematahkan semangat perjuangan mereka.
Ujar beliau, rakyat Sabah hari ini jauh lebih matang dan bijak menilai, serta tahu membezakan antara pemimpin yang bekerja demi rakyat, dengan pemimpin yang hanya menjaga kepentingan diri.
Pada 20 Oktober lalu, Datuk Armizan Mohd Ali membidas Parti Warisan dan Mohd Shafie yang dilihat sebagai 'juara' memperjuang hak Sabah terutama dalam isu hak minyak dan gas, khazanah alam serta sempadan negeri.
Timbalan Setiausaha Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu berkata, Mohd Shafie didakwa gagal mempertahankan hak dan kepentingan Sabah semasa Rang Undang-Undang (RUU) Akta Laut Wilayah 2012 (Akta 750) dibentang dan diluluskan di Dewan Rakyat hingga berkuat kuasa pada Jun 2012.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami