SIBU: Setiausaha Agung Parti Bumi Kenyalang (PBK) Priscilla Lau hari ini hadir di Balai Polis Sentral di sini untuk memberi keterangan mengenai beberapa video yang dimuat naik di Internet berhubung hak Sarawak untuk kemerdekaan.

Beliau yang hadir di balai polis berkenaan bersama abangnya, mengaku bahawa beliau telah memuat naik video berkenaan, namun menurutnya ia tidak mengandungi sebarang unsur hasutan.

Beliau berkata semua video itu berbentuk pendidikan, dengan semua maklumat diperoleh menerusi Internet, dan dalam video berkenaan beliau bercakap mengenai hak Sarawak bagi kemerdekaan menerusi Deklarasi Kemerdekaan Satu Pihak (UDI).

"Menjelang Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 (PRN12) lepas, saya telah muat naik beberapa video di TikTok dan bercakap mengenai hak Sarawak untuk Kemerdekaan. Hari ini saya hadir di Balai Polis Sentral untuk menjawab beberapa laporan dibuat terhadap saya berhubung video berkenaan," katanya dalam kenyataan yang diedar kepada media hari ini.

Difahamkan beliau disiasat di bawah Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan kerana menerbitkan atau mengedarkan apa-apa kenyataan, khabar angin, atau laporan dengan niat untuk menyebabkan, atau yang mungkin menimbulkan ketakutan atau kebimbangan kepada orang ramai.

"Saya juga bercakap mengenai kemerdekaan Malaysia dari penjajahan British pada 1957 dan perpisahan Singapura daripada Malaysia pada 1965. Semua maklumat ini ditulis dalam buku sejarah. Pelajar mempelajari perkara ini di sekolah," katanya.

Lau berkata beliau percaya dengan kebebasan bersuara yang dijamin oleh Perlembagaan Negara.

Pertandingan merebut kerusi Dewan Undangan Negeri Bukit Assek pada PRN12 lepas menyaksikan Joseph Chieng daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS) meraih 4,684 undi, diikuti Irene Chang daripada DAP (3,810 undi), Priscilla (2,598), Andrew Ting daripada Parti Sarawak Bersatu (1,790), calon bebas Hii Tiong Huat (313) dan Jess Lau dari parti Aspirasi (209).

Pemangku Ketua Polis Daerah Sibu Supt Dr Collin Babat yang mengesahkan siasatan sedang dijalankan berkata, 12 laporan dibuat orang ramai di Sarawak terhadap Lau.

-- BERNAMA