Shahelmy serah kepada Lembaga Disiplin UMNO untuk buat keputusan

Bernama
Februari 25, 2023 13:20 MYT
Shahelmey berkata, beliau sedia berdepan sebarang tindakan dan tidak mahu mendahului Lembaga Disiplin UMNO dengan melakukan perlakuan atau kenyataan yang kurang wajar. - Gambar fail/BERNAMA
PUTATAN: Datuk Shahelmey Yahya, satu-satunya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO yang menyatakan pendirian menyokong Kerajaan Negeri Sabah ketika ini, menyerahkan kepada Lembaga Disiplin parti untuk membuat keputusan berhubung tindakannya itu.
Timbalan Ketua Menteri III dan Ahli Parlimen Putatan itu berkata beliau sedia berdepan sebarang tindakan dan tidak mahu mendahului Lembaga Disiplin UMNO dengan melakukan perlakuan atau kenyataan yang kurang wajar.
"Saya seorang daripada ADUN UMNO Sabah yang dipanggil Lembaga Disiplin untuk membuat pembelaan atas pertuduhan yang telah dinyatakan. Selesai sudah menyatakan pembelaan saya.
"Kita berserah kepada Lembaga Disiplin UMNO untuk membuat keputusan, jadi kita tunggu," katanya kepada pemberita selepas Karnival Perpaduan Perumahan Daerah Putatan dan Karnival Perpaduan Komuniti Gerak Rahmah, Jom Sihat Daerah Putatan di sini hari ini.
Selain Shahelmy, yang merupakan ADUN Tanjung Keramat, empat lagi ADUN berpendirian sama telah dipanggil oleh Lembaga Disiplin UMNO iaitu Datuk Jasnih Daya (Pantai Dalit), Datuk James Ratib (Sugut), Datuk Mohd Arsad Bistari (Tempasuk) dan Datuk Dr Yusof Yacob (Sindumin).
Bagaimanapun, Jasnih, James, Mohd Arshad dan Yusof bersama seorang lagi ADUN UMNO iaitu Datuk Hamild@Hamid Awang (Balung) mengumumkan keluar parti dan menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) pada Selasa lepas.
Pada 6 Jan lepas, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata parti itu menarik balik sokongan terhadap Kerajaan Negeri Sabah dan Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri.
Ditanya tentang tindakan ADUN terbabit yang meninggalkan UMNO, Shahelmy berkata itu adalah hak mereka namun beliau menganggap keputusan tersebut dibuat bagi mengukuhkan kestabilan politik di Sabah.
"Politik yang stabil penting agar pentadbiran dan agenda pembangunan negeri seperti Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya dapat dijayakan," katanya.
-- BERNAMA
#Shahelmey Yahya #Adun Umno #kerajaan negeri Sabah #Lembaga Disiplin UMNO