Siapa Ahmad Bashah, Menteri Besar Kedah baharu yang menggantikan Mukhriz Mahathir?

Astro Awani
Februari 3, 2016 04:28 MYT
Ahmad Bashah merupakan Timbalan Pengerusi Umno Kedah dan Adun Bakar Bata untuk lima penggal sejak 1995. - Gambar Fail
Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah hari ini diumumkan sebagai Menteri Besar Kedah yang baharu oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Bakar Din.
Ahmad Bashah, yang akan menggantikan Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir, dijangka mengangkat sumpah pada pukul 10 pagi di Istana Anak Bukit, Alor Setar, esok.
Beliau merupakan Timbalan Pengerusi UMNO Kedah dan Adun Bakar Bata untuk lima penggal sejak 1995.
Pada PRU13 yang lalu, Ahmad Bashah menang dengan majoriti 895 undi mengatasi calon PKR Mohd Eekmal Ahmad dan calon Parti Bersatu Sasa (Bersama) Jawahae Raja Abdul Wahid.
Reaksi Ahmad Bashah sejurus selepas pengumuman dibuat
Ahmad Bashah, yang juga merupakan, Senator dan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, dilaporkan menguatkan semula parti Barisan Nasional (BN) sehingga ia berjaya memperoleh 21 kerusi daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam PRU13.
Beliau memegang pelbagai jawatan sepanjang pembabitannya dalam dunia politik lebih 40 tahun, antaranya Ketua Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar, Naib Ketua Pemuda UMNO Negeri, Ketua UMNO Bahagian Alor Setar, Bendahari UMNO negeri dan Bendahari BN negeri.
Ahmad Bashah, yang dilahirkan pada 10 Okt 1950 dan berumur 66 tahun itu, dikenali sebagai pemimpin yang merendah diri atau ‘low profile’.
Beliau berkahwin dengan Datin Seri Hizam Awang Ahmad dan mempunyai empat orang anak perempuan.
Bashah pada 20 Januari lalu mengadakan sidang media mengejut mengumumkan beliau bersama 13 ketua Umno bahagian di Kedah mendesak Mukhriz meletak jawatan.
Desakan itu dibuat selepas mendakwa pemimpin Umno Kedah hilang kepercayaan terhadap Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai menteri besar Kedah dan pengerusi UMNO negeri serta mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membuat perubahan segera.
BACA: Kronologi krisis Menteri Besar Kedah
BACA: Isu MB Kedah: Tindakan Jemaah Diraja memanggil semua ADUN wajar - Guan Eng
BACA: Krisis MB Kedah: Ini isu dalaman, biar pucuk pimpinan parti selesaikan - Shahidan
BACA: Mukhriz Mahathir diminta keluar dari mesyuarat MT UMNO
BACA: 'Ambillah jawatan saya kalau rasa bagus sangat' - Mukhriz
VIDEO: Reaksi Ahmad Bashah berhubung pelantikan MB Kedah baharu
#Datuk Bakar Din #Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah #Pengganti Mukhriz Mahathir #Siapa Menteri Besar MB Kedah baru