Skip to main content
Advertisement

Politik

Siapa 'berniat jahat'? Sheikh Umar persoal dakwaan Takiyuddin

[TB]_Sheikh Omar Takiyuddin ROS PN_FB
Daripada kronologi dan fakta, siapa yang ‘berniat jahat’? Siapa yang ‘mala fide’? Siapa yang beri ‘tekanan politik’?” soal Sheikh Umar kepada Takiyuddin.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP, Senator Sheikh Umar Bagharib Ali mempersoalkan dakwaan wujud agenda berniat jahat atau mala fide di sebalik tindakan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) terhadap Perikatan Nasional (PN).

Beliau berkata demikian sebagai respons terhadap Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang tidak menolak kemungkinan tindakan RoS berpunca daripada agenda berniat jahat dan tekanan politik dari dalam serta luar gabungan itu.

“Daripada kronologi dan fakta, siapa yang ‘berniat jahat’? Siapa yang ‘mala fide’? Siapa yang beri ‘tekanan politik’?” tegas beliau dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Sheikh Umar antara lain merujuk keputusan Pas pada 8 Jun lalu untuk menghentikan kerjasama politik dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Menurutnya, keputusan itu dibuat selepas Majlis Syura Ulama Pas pada 2 Jun mempertimbangkan dasar, hukum dan maslahat kerjasama politik antara kedua-dua parti.

Beliau turut membangkitkan tindakan Bersatu yang tidak dilibatkan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 16 Julai lalu meskipun parti itu mempertahankan kedudukannya sebagai anggota sah gabungan berkenaan.

Bersatu kemudiannya membuat aduan rasmi kepada RoS pada 11 Ogos berhubung isu mesyuarat tersebut serta status keanggotaannya dalam PN.

Sheikh Umar turut mengingatkan bahawa Bersatu memilih menggunakan logo sendiri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan selepas mendakwa tidak dilibatkan dalam pembahagian kerusi PN dan pendirian mengenai kerjasama PAS-BN.

“Jadi, siapa sebenarnya yang mengenepikan siapa?” soalnya lagi.

Terdahulu, Takiyuddin berkata, PN tidak bersetuju dengan asas tindakan RoS dan sedang mengambil langkah segera melalui proses undang-undang yang tersedia.

Pada 22 September, RoS mengeluarkan notis di bawah subseksyen 13(2) Akta Pertubuhan 1966 kepada PN sebelum menggantung semua kegiatan gabungan itu di bawah subseksyen 13(2A) berkuat kuasa sehari kemudian.

RoS menegaskan, notis berkenaan bukan keputusan pembatalan pendaftaran, sebaliknya bertujuan mendapatkan penjelasan PN berhubung aduan yang dikemukakan Bersatu.


 

Must Watch Video

Advertisement