KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengesahkan tarikh Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen Ke-14 dipinda ke 13 September hingga 12 Oktober depan selama 17 hari.

Beliau berkata, penangguhan dari tarikh asal 6 September itu antara lain bagi membolehkan barisan Kabinet membuat persediaan terutama mengenal pasti isu-isu yang perlu diutamakan di dalam setiap kementerian.

Jelasnya, tambahan masa selama dua hari turut diberi kepada persidangan berkenaaan untuk memberi laluan kepada hal-hal atau usul kerajaan yang perlu diselesaikan.

"Berdasarkan Peraturan Mesyuarat, Perdana Menteri adalah selaku Ketua Majlis Mesyuarat mempunyai budi bicara untuk mengubah tarikh-tarikh yang ditetapkan dari semasa ke semasa mengikut kesesuaian keadaan semasa.

"Tambahan pula, seramai 31 menteri dan 38 timbalan menteri, termasuklah empat Menteri Kanan, yang baru sahaja mengangkat sumpah sebagai anggota Kabinet dua hari yang lalu, memerlukan masa untuk menggalas tanggungjawab serta mengenal pasti isu-isu yang perlu diutamakan di dalam setiap kementerian dengan membuat perancangan jangka masa pendek dan panjang bagi mencapai objektif yang disasarkan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

BACA: Sidang penuh Dewan Rakyat ditunda ke 13 September

Pindaan tarikh itu juga katanya akan dapat memberi masa untuk urusan persiapan Mesyuarat Parlimen dengan susunan Jemaah Menteri baharu dan proses kelulusan draf titah daripada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

"Selaras dengan konsep “Kabinet Berorientasikan Hasil”, setiap anggota Kabinet perlu menekankan budaya kerja berprestasi tinggi bagi membantu negara memulihkan ekonomi demi kesejateraan rakyat dan perlu bertindak pantas serta bersepadu dalam usaha membebaskan Malaysia daripada ancaman pandemik COVID-19,"ujarnya.