IPOH: Kerajaan Perpaduan di Perak membuktikan sindiran 'kahwin mutaah' yang pernah dilemparkan kepada pemimpin negeri sebelum ini tidak berlaku selepas berjaya mengharungi tempoh setahun pentadbiran.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pentadbiran yang disepakati dua gabungan parti politik, Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) berjalan dalam keadaan aman tanpa sebarang krisis yang boleh menggugat kestabilan kerajaan negeri.

"Kepada sesiapa juga yang selama ini meragui penubuhan Kerajaan Perpaduan ini, seolah-olah untuk masa singkat atau ada kata kahwin mutaah dan pelbagai sindiran dibuat, saya nak yakinkan dan beri jaminan bahawa kami sudah buktikan, genap setahun tiada masalah.

"Saya yakin bukan sahaja setahun, tetapi sehingga akhir penggal pilihan raya ini kita dapat meneruskan menjalankan tugas pentadbiran sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab untuk rakyat Perak," katanya.

Beliau berkata demikian selepas ditemui dalam Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan Daerah Bagan Datuk di Dewan Dato' Lope Hashim dekat sini pada Khamis.

Saarani yang juga Pengerusi BN negeri mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Perak ke-15 pada 21 November 2022.

Diikuti angkat sumpah 10 jawatan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) iaitu kalangan tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN dan tujuh lagi daripada PH pada 22 November 2022.

Mengulas lanjut, Saarani berkata, kesepakatan dalam menentukan sesuatu keputusan menjadi kunci utama yang mengukuhkan kekuatan kerajaan Perpaduan di Perak.

Katanya, meskipun adakalanya berbeza pandangan, namun keadaan itu ditangani secara profesional dengan matlamat menjadikan urusan pentadbiran di peringkat negeri berjalan dengan lancar.

"Kami mengadakan mesyuarat Exco setiap minggu secara profesional, aman damai, dan bertoleransi.

"Kadang-kadang ada pendapat yang berbeza, tetapi kita raikan dan akhirnya kita membuat keputusan secara bersepakat," katanya.

Sementara itu, program Mesra Hari Bertemu Pelanggan yang memasuki siri ke-9 tahun ini telah berjaya menyelesaikan 1,013 aduan daripada keseluruhan 1,308 kes diterima manakala 295 lagi masih dalam tindakan.

Keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menyaksikan BN memenangi sembilan kerusi, PH sebanyak 24 kerusi manakala Perikatan Nasional (PN) 26 kerusi daripada keseluruhan 59 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan.

BN dan PH Kemudiannya menjalinkan kerjasama bagi membentuk kerajaan negeri baharu Perak dengan majoriti 33 kerusi DUN. - Sinar Harian