Mana-mana pihak yang masih meraih undi dan berkempen pada hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, hari ini digesa supaya menghentikan aktiviti tersebut.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, tempoh rasmi berkempen sudah pun tamat pada 11.59 malam tadi.

“Kalau ikutkan masa untuk berkempen telah pun berlalu pada malam tadi dan tidak sepatutnya (raih undi)

“Kita di peringkat SPR tidak galakkan dan memang tak boleh.

“Cuma kadang-kadang mereka buat khemah dan khemah untuk tujuan memberi kemudahan kepada parti yang terlibat terutamanya dari segi bekalan pelitup muka... yang ini kita tiada masalah untuk keselamatan masing-masing,” katanya kepada pemberita di sini, pada Sabtu.

Beliau berkata demikian selepas meninjau Pusat Pengundian Di Sekolah Kebangsaan Aminudin Baki, di sini.

LAPOR LANGSUNG: 22,749 warga Slim keluar mengundi hari ini

Mengulas lanjut, beliau bagaimanapun memaklumkan aktiviti tersebut tidak berlaku, setakat ini.

“Keadaan begitu aman, tiada peraih undi... Kalau sebelum ini nak masuk (Pusat Mengundi) pun susah, sekarang tiada.

“Keadaan elok sahaja dan mereka yang datang pun hanya yang mahu mengundi,” ujarnya.

Tinjauan Astro AWANI di beberapa lokasi Pusat Mengundi pada pagi tadi mendapati terdapat beberapa kumpulan penyokong dilihat meminta pengundi memilih calon masing-masing.



PRK N.58 DUN Slim menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) dengan dua calon Bebas.

BN diwakili Mohd Zaidi Aziz, 43, manakala dua calon Bebas ialah S Santhasekaran, 44, dan Amir Khusyairi Mohamad Tanusi, 38, yang mewakili Parti Pejuang Tanahair (Pejuang).