Slim Memilih: Kemenangan Zaidi bukti rakyat yakin dengan BN, PN - Muhyiddin

Fauzi Suhaimi
Ogos 30, 2020 01:36 MYT
Kemenangan itu bukti kesepakatan Bersatu, UMNO dan Pas dalam Muafakat Nasional (MN). - Foto BERNAMA
Kemenangan bergaya calon Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim membuktikan keyakinan rakyat terhadap parti BN dan dasar-dasar yang dilaksanakan kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kemenangan itu juga membuktikan kesepakatan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), UMNO dan Pas dalam Muafakat Nasional (MN) mampu mewujudkan kesepakatan yang jitu untuk meraih sokongan padu pengundi.
"Saya mengucapkan tahniah kepada calon BN Mohd Zaidi Aziz yang telah memenangi PRK DUN Slim dengan majoriti yang besar.
"Saya berharap Zaidi akan dapat menjalankan tugas dan tanggungjawab kepada rakyat dengan cemerlang.
"Tahniah juga diucapkan kepada seluruh jentera pilihan raya yang membantu kemenangan calon BN," katanya dalam kenyataan, di sini, pada Ahad.
PRK DUN Slim menyaksikan BN berjaya mengekalkan kerusinya apabila Mohd Zaidi berjaya memperoleh kemenangan selesa dengan majoriti 10,945 undi.
Mohd Zaidi menewaskan dua pencabarnya, calon Bebas Amir Khusyairi Mohamad Tanusi dan S.Shantarasekaran.
#Barisan Nasional #calon #kerajaan #Malaysia #menteri #Muhyiddin Yassin #PAS #Perdana Menteri #pilihan raya #pilihan raya kecil #PPBM #rakyat #UMNO