SHAH ALAM: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari menyerahkan nasibnya dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kepada pucuk pimpinan tertinggi parti itu.

Abdul Rashid berkata, beliau sedar implikasi yang bakal diterima selepas mengisytiharkan sokongan kepada kepimpinan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Kata Abdul Rashid, beliau menerima segala keputusan parti berhubung tindakannya itu.

"Saya faham apabila buat keputusan (sokong kerajaan Selangor), perkara ini akan dirujuk ke pimpinan tertinggi (Bersatu).

"Terpulang kepada mereka, saya terima saja sebab keputusan saya muktamad," katanya pada sidang akhbar berkenaan pendirian beliau menyokong kepimpinan Menteri Besar Selangor pada Isnin.

Beliau bagaimanapun memberitahu masih kekal sebagai Ketua Bersatu Kapar walaupun pihaknya dimaklumkan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah meminta pimpinan negeri untuk mengambil alih bahagian berkenaan.

Ditanya berkenaan status ADUN yang dikatakan terlucut serta-merta susulan pindaan di bawah Fasal 10 Perlembagaan Bersatu, Abdul Rashid berkata, perlembagaan itu belum boleh diguna pakai susulan belum mendapat kelulusan daripada Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS)

"Kebiasaannya jika ikut perundangan, perlembagaan yang ingin dilaksanakan adalah selepas mendapat kelulusan ROS.

"Jadi pada saya, tindakan Bersatu meminda perlembagaan tersebut adalah untuk masa depan parti dan tidak boleh digunakan pindaan tersebut kepada mereka yang telah mengambil tindakan awal (beri sokongan kepada pihak lawan)," katanya.

Dalam pada itu, beliau menafikan dakwaan tidak sehaluan dengan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang menjadi punca kepada keputusan memberikan sokongan kepada pentadbiran kerajaan Selangor.

"Saya sebenarnya tidak ada masalah dengan beliau tapi keputusan yang diambil ini selepas melihat banyak percaturan dilakukan dalam Selangor tanpa pedulikan saya sebagai Pengerusi Bersatu Selangor.

"Soal perselisihan pendapat dalam parti, saya rasa ini isu dalaman parti.

"Mungkin ada mahu mendapat kuasa lebih dalam parti jadi mereka bersekongkol untuk tolak saya dari Selangor, itu sebab saya tidak dipedulikan lagi," katanya.

Beliau pada masa sama tidak mahu terlalu memikirkan nasibnya pada penggal akan datang, namun memberitahu selama bertugas sebagai ADUN pembangkang sebelum ini, beliau tetap memberikan khidmat sebagaimana dilakukan ADUN kerajaan.

"Dari mana bajet jangan tanya, sebab pada saya jika niat mahu tunaikan amanah yang diberikan rezeki akan datang dari mana-mana tapi sudah tentu saya guna duit poket sendiri, itu sebab dapat undi paling banyak," katanya. - Sinar Harian