KUALA LUMPUR: Beberapa Ahli Parlimen dari UMNO akan mengadakan satu sidang media tergempar di ibu negara, sekitar 11.30 pagi ini.

Ahli Parlimen yang dijangka menyertai sidang media itu ialah Datuk Seri Shahidan Kassim (Arau), Datuk Seri Nazri Aziz (Padang Rengas), dan beberapa yang lain, yang dikatakan cenderung menyokong kepimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

BACA: MKT UMNO tarik sokongan, mahu Muhyiddin letak jawatan sebagai PM

BACA: 'Ada pihak cetuskan kemelut politik, mahu saya campuri urusan mahkamah' - PM Muhyiddin

Pada 3 Ogos lepas, Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) untuk menarik sokongan terhadap Kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Muhyiddin.

Jelas Ahli Parlimen Bagan Datuk itu lagi, Muhyiddin mesti mengambil tanggungjawab atas kegagalan dan keingkaran Kerajaan pimpinan beliau terhadap Agong dengan meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri secara terhormat.

Bagaimanapun, Muhyiddin dalam Perutusan Khasnya di Putrajaya pada 4 Ogos menegaskan beliau masih mempunyai sokongan majoriti dan isu peletakan jawatannya sebagai Perdana Menteri tidak berbangkit.

Perdana Menteri berkata, beliau telah menyembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara pada Rabu, bahawa sejumlah Surat Akuan daripada ahli-ahli Dewan Rakyat, yang menurut dirinya masih mempunyai sokongan majoriti.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan pada 5 Ogos memberitahu, parti itu telah menghantar surat kepada semua Ahli Parlimennya agar menyatakan pendirian mereka secara bertulis.

Portal Suara TV melaporkan, surat yang dihantar oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan itu meminta semua Ahli Parlimen parti itu menjawab borang yang dikepilkan sebelum 7 Ogos.

Menerusi borang tersebut, semua Ahli Parlimen UMNO diminta menyatakan pendirian sama ada tidak menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan meletak jawatan atau menyokong PN dan tidak akan meletak jawatan.