KUALA LUMPUR:Setelah beberapa kali sebelum ini menyatakan tidak mempunyai kuasa untuk mempercepatkan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun hari ini meminta ahli Parlimen merujuk sendiri amalan dan konvensyen Westminster yang diikuti oleh negara ini.

Azhar berkata menerusi kajian mendalam yang dibuat beliau, selain merujuk amalan dan konvensyen Westminster itu, beliau dapati Yang Dipertua Dewan Rakyat sememangnya tidak mempunyai kuasa untuk menaikkan usul undi tidak percaya tersebut kepada giliran pertama.

Oleh itu kata Azhar beliau tidak faham mengapa ramai dalam kalangan ahli Parlimen, cendekiawan, peguam termasuk bekas peguam negara masih bertegas menyatakan beliau mempunyai kuasa tersebut.

"Perkara ini bukan sahaja (diamalkan oleh) kita, di Afrika Selatan serupa, di United Kingdom serupa, di Australia serupa, kita menggembar-gemburkan bahawa konvensyen dan amalan Westminster demokrasi mesti dituruti, jadi kita turut. Itu amalannya. Saya terikat dengan prosedur yang diluluskan oleh Dewan ini sendiri melalui Peraturan Mesyuarat," katanya di Dewan Rakyat.

Terdahulu sebelum sesi perbahasan peringkat jawatankuasa Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 bermula, RSN Rayer (PH-Jelutong) yang memberi contoh situasi usul undi tidak percaya terhadap Menteri Besar Perak baru-baru ini, mencadangkan agar Dewan Rakyat mengambil iktibar dengan mengutamakan usul berkenaan.

Sim Tze Tin (PH-Bayan Baru) yang turut menyuarakan hal sama berkata perkara itu merupakan isu legitimasi kerajaan, justeru perlu diputuskan segera agar kestabilan politik negara dapat dicapai.

Sebelum ini Azhar dilaporkan berkata sistem yang diamalkan di Australia juga hampir serupa dengan amalan di Malaysia iaitu sesuatu usul undi tidak percaya tidak akan dipercepatkan perbahasannya tanpa penerimaan oleh seorang menteri.

Mengulas lanjut, Azhar berkata sudah lebih empat bulan beliau menjelaskan alasan di sebalik tindakan yang diambilnya, justeru sudah tiba masa untuk mereka yang berkenaan berhenti membangkitkan perkara terbabit.

"Saya sudah terangkan alasan tindak-tanduk saya, saya rasa kita berhenti di sini saja. Saya faham pendapat saya tak diterima tapi pada asasnya, hakikatnya, itulah amalan dan konvensyen Westminster demokrasi," katanya.

-- BERNAMA