SPR akan tentukan tarikh penting berkaitan PRU15 - PM Ismail Sabri

Firdaus Azil
Oktober 10, 2022 08:19 MYT
PM Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tiba di Bangunan Perdana Putra bagi menyampaikan perutusan khas pada 3 petang ini. Desas-desus mengatakan perutusan berkenaan berkemungkinan mengenai pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada RU15. - fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Penetapan tarikh-tarikh hari penamaan calon, dan hari mengundi serta urusan-urusan lain yang berkaitan, adalah tertakluk kepada keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Dalam Perutusan Khas sempena Pembubaran Parlimen ke-14 hari ini, beliau berkata, dengan pengumuman ini, mandat akan dipulangkan kepada rakyat.
Mandat rakyat, jelasnya lagi, adalah penawar ampuh bagi negara menzahirkan kestabilan politik dan mewujudkan Kerajaan teguh, stabil serta dihormati selepas PRU15.
“Proses ini berlandaskan sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan sebagai pasak pemerintahan, sejak negara mencapai kemerdekaan.
SPR akan mengumumkan tarikh penamaan calon dan mengundi - Perdana Menteri
“Pembubaran ini dilaksanakan bagi menoktahkan suara-suara yang selama ini meratib keabsahan Kerajaan, Kerajaan pintu belakang dan Kerajaan tebuk atap,” katanya lagi.
Terdahulu, Perdana Menteri mengumumkan tarikh pembubaran Parlimen yang jatuh hari ini.
Beliau berkata, serentak dengan itu kesemua Dewan Undangan Negeri di bawah Kerajaan Negeri Barisan Nasional juga akan dibubarkan.
[TERKINI] Perutusan Khas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri
Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Ghani Salleh pada Ogos lepas memaklumkan kesemua petugas negeri yang terlibat sudah diberikan latihan yang secukupnya untuk memastikan proses perjalanan demokrasi negarai ini berjalan dengan lancar.
Beliau berkata, Menurut Abdul Ghani, dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran, pilihan raya mesti diadakan berdasarkan kepada Fasal (4) Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan.
#bubar parlimen #Pilihan Raya Umum ke-15 #ismail sabri yaakob #Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah