SPR wajar pertimbang penggunaan teknologi bagi PRN Sarawak - Fatimah Abdullah

Lynch Cowan
Oktober 21, 2020 07:01 MYT
Jelas Fatimah PRN tetap perlu dijalankan biarpun negara masih berdepan dengan risiko penularan COVID-19. FOTO: Astro AWANI
MUKAH: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu membuat perincian dan undang-undang berkaitan penggunaan teknologi sekiranya Pilihanraya Negeri Sarawak ke-12 (PRN12) dijalankan ketika negara masih berdepan dengan risiko penularan COVID-19.
Demikian seruan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat, Datuk Seri Fatimah Abdullah.
Jelas Fatimah, meskipun negara masih berdepan dengan wabak tersebut, PRN-12 masih boleh dijalankan dengan menggunakan teknologi yang mampu membantu melicinkan proses pilihan raya.
“Perkara ini perlu dipertimbangkan oleh pihak SPR.
"Bagaimana kita boleh memanfaatkan teknologi. Bagaimanapun setiap perkara memerlukan perincian sebelum ia dilaksanakan.
“Seterusnya mungkin pihak SPR boleh meneliti penggubalan undang-undang, kerana saya berpendapat, memanfaatkan penggunaan teknologi ketika ini merupakan satu cadangan yang baik,” ujarnya.
Tambahnya penggunaan teknologi juga relevan bagi warga Bumi Kenyalang yang melakukan proses migrasi ke negeri lain.
“Ketika ini ramai dalam kalangan mereka (pengundi) tidak menetap di kawasan mengundi dan berhijrah ke tempat untuk bekerja dan sebagainya.
“Faktor harga tiket yang mahal mungkin akan menyebabkan mereka tidak pulang mengundi.
"Ini adalah satu kerugian. Jadi ini antara faktor yang boleh dipertimbang oleh pihak SPR,” tambah Fatimah.
Antara lain tegas Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Sarawak ini, pelaksanaan PRN ini masih perlu dijalankan biarpun negara masih berdepan dengan risiko penularan COVID-19.
Ini kerana Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak tetap akan dibubarkan apabila tempoh mandat berakhir.
“Umum tahu bahawa tempoh Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak akan mencapai tempoh matang sebelum Mei 2021.
“Maka sebelum ia terbubar secara automatik, kita perlu mengadakan pililhan raya kerana ia sudah termaktub dalam perlembagaan kita,” katanya lagi.
Fatimah berkata demikian selepas merasmikan Program Wancana Ilmu-Wanita Inspirasiku (WINS) di Kingwood Resort Mukah pada Selasa.
#PRN Sarawak #PRN12 #Fatimah Abdullah #Suruhanjaya Pilihan Raya #SPR #ADUN Dalat #Menteri KWKPK #teknologi #digital #Sarawak