POLITIK

SPRM tubuh pasukan pantau PRN Sabah - Azam Baki

Bernama 18/10/2025 | 07:30 MYT
Azam ketika sidang media pada Majlis Tamat Latihan Dan Penganugerahan Sijil Kadet Integriti Muda, Kor Sukarelawan Mahasiswa Antirasuah (Kor SUAR) di UniSZA, hari ini. - Foto Bernama
KUALA NERUS: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menubuhkan pasukan pemantauan bagi memastikan proses Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 berlangsung secara telus serta bebas daripada sebarang salah guna kuasa.


Ringkasan AI
  • SPRM tubuhkan pasukan pemantauan PRN Sabah ke-17 melibatkan 40 pegawai dari Ibu Pejabat untuk memastikan pilihan raya berlangsung telus dan bebas rasuah.
  • Bilik gerakan SPRM dibuka di Kota Kinabalu sebagai pusat operasi utama, dengan kerjasama PDRM bagi pemantauan dan penguatkuasaan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
  • PRN Sabah ke-17 berlangsung 29 November dengan penamaan calon pada 15 November dan undi awal 25 November; DUN Sabah mempunyai 79 kerusi (73 dipertandingkan, enam dilantik).


Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata pasukan itu terdiri daripada kira-kira 40 pegawai dari Ibu Pejabat SPRM bagi memperkukuh pemantauan di lapangan sepanjang tempoh pilihan raya diadakan.

"Kami telah pun bersedia dan menubuhkan satu pasukan di negeri (Sabah). Saya juga telah menghantar pasukan dari Ibu Pejabat untuk memantau pilihan raya berkenaan bagi memastikan perjalanan pilihan raya itu tidak disusuli dengan isu-isu salah guna kuasa, rasuah atau penipuan.

"Sabah ini luas dan banyak kawasan perlu diperhatikan sebab itu kita tubuhkan pasukan. Kita juga ada sistem pemantauan bagi memudahkan pemantauan di semua kawasan terlibat," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penganugerahan Kadet Kor Sukarelawan Mahasiswa Antirasuah (Kor SUAR) di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), di sini hari ini.

Azam berkata bilik gerakan pilihan raya akan dibuka di Kota Kinabalu sebagai pusat operasi utama sebelum diperluas ke daerah lain.

Beliau berkata SPRM turut bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam pelaksanaan pemantauan bagi memastikan pematuhan terhadap Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

"Kita juga bekerjasama dengan agensi-agensi lain khususnya PDRM bagi membekalkan maklumat. Perlu diingat, bukan sahaja SPRM menguatkuasakan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 tetapi PDRM juga mempunyai kuasa berkenaan maka kerjasama antara kedua-dua pihak ini amat penting," katanya.

Pada 6 Okt lepas, Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah bagi memberikan laluan kepada PRN Sabah ke-17.

DUN Sabah mempunyai 79 kerusi, dengan 73 daripadanya dipertandingkan, manakala enam lagi merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang dilantik.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon bagi PRN Sabah pada 15 Nov, manakala undi awal berlangsung 25 Nov dan tarikh mengundi pada 29 Nov.

-- BERNAMA



#PRN Sabah #SPRM #Azam Baki #pasukan pemantau