KUALA LUMPUR : Datuk Seri Rina Harun menyifatkan Srikandi Bersatu tidak sama dengan Wanita UMNO yang dilihat bersikap mengetepikan muka baharu dan muda dalam parti.

Ketua Srikandi Bersatu itu berkata, Srikandi sebaliknya, sangat mengalu-alukan kehadiran semua wanita pelbagai peringkat umur demi pengukuhan parti.

“Kita nak pastikan Perikatan Nasional (PN) memenangi PRN tidak lama lagi. Srikandi Bersatu sangat setia, sebab itu pada perhimpunan kali ini adanya adinda Srikandi Muda buat kali pertama.

“Dalam perhimpunan juga saya menyatakan dua tahun lepas, bukan sahaja menerima, malah menyokong penubuhan Srikandi Muda.

"Kita tak macam Wanita UMNO... ada yang baru, muda nak diketepikan. Kita tidak begitu, kita alu-alukan semua demi pengukuhan parti,” katanya semasa berucap pada Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu 2022 di Menara PGRM, Cheras di sini pada Ahad.

Rina dalam pada itu turut mencadangkan agar mereka di kalangan ketua-ketua bahagian memberi peluang dan bantuan kepada Srikandi Bersatu dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

“Saya juga harap Ketua-Ketua Bahagian, kita ini ibarat satu keluarga. Sedangkan lidah lagi tergigit, suami isteri pun berbalah pendapat. Dalam menuju peperangan, perpaduan yang perlu kita eratkan. Maka, pandang jugalah Srikandi di bahagian.

“Bila nak PRN, ada yang cakap tak perlulah Srikandi (jadi calon) kita berilah kepada ketua bahagian. Kalau ketua bahagian yang bertanding, Srikandi akan membantu tetapi Srikandi yang nak bertanding, nanti ada yang nak boikot,” ujarnya. 

Dalam pada itu, Srikandi akan menubuhkan Sekretariat Usahawan Srikandi bagi melahirkan usawahan wanita dan dalam masa sama akan dapat memberikan sumbangan kepada Bersatu yang kini berdepan kekurangan dana berikutan pembekuan akaun parti.

“Kita nak belajar bukan hanya nak meminta-minta, tetapi kita nak belajar memberi kepada parti yang kita sayangi,” tambahnya.