Global Sumud Flotilla: 443 aktivis ditahan Israel di laut antarabangsa, termasuk 15 rakyat Malaysia. Ikuti perkembangan terkini di sini
POLITIK

STAR Sabah dan SAPP sah tinggalkan GRS, mahu bertanding sendiri di PRN Sabah

Firdaus Azil 02/10/2025 | 10:01 MYT
Kedua-dua presiden parti tersebut memaklumkan mesyuarat Majlis Presiden GRS semalam bahawa STAR dan SAPP akan bertanding menggunakan lambang parti sendiri dalam PRN-17 akan datang.
KOTA KINABALU: Dua parti komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS), iaitu Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP) sah meninggalkan gabungan itu, kata Setiausaha Agung GRS, Datuk Seri Masidi Manjun.


Ringkasan AI
  • Dua parti komponen GRS, iaitu Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP), sah keluar daripada gabungan selepas memutuskan untuk bertanding menggunakan lambang parti masing-masing pada PRN-17.
  • Keputusan itu dibuat kerana tidak mahu terikat dengan kuota agihan kerusi antara GRS dan Pakatan Harapan; tindakan ini bermakna calon STAR dan SAPP tidak lagi mewakili GRS.
  • GRS menegaskan akan terus memperkukuh strategi bersama parti komponen lain untuk menghadapi PRN-17, manakala keanggotaan STAR dan SAPP dalam GRS tamat secara automatik.


Dalam satu kenyataan pada Khamis, beliau berkata, kedua-dua presiden parti tersebut, Datuk Seri Jeffrey Kitingan dan Datuk Seri Yong Teck Lee memaklumkan mesyuarat Majlis Presiden GRS semalam bahawa STAR dan SAPP akan bertanding menggunakan lambang parti sendiri dalam pilihan raya negeri akan datang.

Masidi berkata, kedua-dua presiden itu memaklumkan keputusan tersebut dibuat kerana tidak mahu terikat dengan kuota agihan kerusi DUN yang akan dimuktamadkan antara GRS dan Pakatan Harapan.

“Ini bermakna STAR dan SAPP berkemungkinan akan meletakkan calon di kawasan-kawasan DUN yang juga bakal ditandingi oleh calon-calon dari PH,” katanya lagi.

Dalam pada itu Masidi berkata, Ketua Menteri Sabah yang juga Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor dalam mesyuarat itu memperingatkan bahawa semua parti komponen GRS perlu menghormati persetujuan kerjasama yang telah diumumkan bersama PH sebelum ini.

Katanya lagi, Hajiji turut menegaskan bahawa atas prinsip kesatuan, GRS harus bergerak sebagai satu entiti, dengan semua calon GRS menggunakan lambang yang sama, iaitu lambang GRS, dalam menghadapi PRN-17.

“Setelah perbincangan secara terbuka dan ikhlas selama hampir dua jam, mesyuarat telah memutuskan bahawa mana-mana parti komponen yang memilih untuk meletakkan calon menggunakan lambang parti masing-masing dianggap telah keluar daripada GRS. Oleh itu, calon-calon daripada parti tersebut tidak lagi mewakili GRS dalam PRN-17.

“Pengerusi GRS yang juga Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS), bersama Presiden parti-parti komponen lain iaitu Parti Bersatu Sabah (PBS), Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Parti Liberal Demokratik (LDP), Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS) dan Parti Cinta Sabah (PCS), menghormati keputusan STAR dan SAPP untuk bertanding secara solo dalam PRN-17,” katanya lagi.

Dengan keputusan dan tindakan tersebut, Masidi berkata, keanggotaan STAR dan SAPP dalam GRS dengan sendirinya tamat.

Tambahnya lagi, GRS akan terus memperkasakan gerak kerja dan memantapkan strategi bagi menghadapi PRN-17 dengan komitmen penuh kepada kestabilan dan kesejahteraan negeri Sabah.



#pilihan raya negeri #SAPP #STAR Sabah #keluar GRS #PRN Sabah #terkini