KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Mesyuarat Khas Parlimen pada Isnin disambut baik oleh Pengasas Bersama Undi18, Qyira Yusri susulan situasi darurat yang telah lama menghentikan institusi tersebut daripada bersidang.

Menurutnya, meskipun pelaksanaan itu disambut baik namun beliau turut menekankan bahawa persidangan itu perlu dijalankan secara penuh bagi membincangkan isu-isu semasa.

Di samping itu, beliau turut mengharapkan agar golongan belia diberikan peluang untuk bersuara di Dewan Rakyat walaupun terdapat limitasi had Ahli Parlimen yang hadir secara fizikal.

"Untuk golongan belia, saya rasa minggu ini adalah minggu yang sangat penting untuk golongan belia membawakan isu-isu yang memberi impak.

"Contohnya, seperti isu pendidikan, pekerjaan dan kesihatan mental kepada Ahli Parlimen supaya ia boleh dibincangkan semasa mensyuarat itu nanti," katanya kepada Astro AWANI.

Sementara itu, Qyira turut menyuarakan supaya wujud penambahbaikan terhadap sistem parti politik agar tidak menenggelamkan peranan Parlimen Belia.

Di mana, katanya anak muda ini, seharusnya anak muda diberi ruang dan peluang untuk memahami aspek-aspek pengubalan, ciri advokasi serta hak asasi manusia bagi memahami sistem demokarsi yang diketengahkan di Malaysia.

"Anak muda harus membuka mata dan juga mendapat pengalaman terhadap aspek-aspek Parlimen dan institusi sebegini supaya kita tidak melihat pada pendebatan Dewan Rakyat semata sebagai tonggak di negara kita.

"Jadi, dengan pelaksananan program seperti ini Dewan Muda Malaysia, Parlimen Digital, dan Felo Parlimen boleh dijalankan di waktu pandemik," katanya.

Sehubungan itu, ujarnya situasi pandemik bukanlah penghalang untuk anak muda menyertai politik cuma perlu dilihat kepada langkah pelaksanaan pihak kerajaan dan peluang yang diberikan kepada golongan ini agar lebih cakna kepada hal ehwal rakyat.



Di Talian | Suara belia perlu didengari, bukan dipandang sepi


Difahamkan persidangan tersebut bertujuan memberi penerangan kepada semua Ahli Parlimen berkenaan Pelan Pemulihan Negara (PPN) serta meminda semua perundangan dan peraturan bagi membolehkan persidangan Parlimen diadakan secara hibrid.