Sultan Perak hanya akan lantik MB selepas yakin ada majoriti mudah - Annuar Zaini

Harits Asyraf Hasnan
Disember 6, 2020 04:53 MYT
Kata Annuar,pada pertemuan hampir satu jam itu, Sultan Nazrin telah dimaklumkan berhubung perkembangan terkini dari sudut UMNO serta rumusan yang dicapai dalam mesyuarat pada Sabtu malam. - Gambar fail
IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah akan melantik Menteri Besar baharu hanya dibuat selepas baginda yakin seseorang ADUN itu mempunyai sokongan majoriti mudah.
Itu mesej Ahli Dewan Negara Perak, Datuk Seri Annuar Zaini berkait kemelut politik yang melanda negeri itu.
“Sultan Nazrin mengambil maklum seperti pada hari-hari sebelum ini. Peranan Baginda hanyalah setelah diyakinkan bahawa calon (Menteri Besar) yang akan dipersembahkan itu telah mendapat sokongan majoriti mudah.
“Pihak Istana bersedia apabila diyakinkan sudah ada calon yang telah mendapat majoriti mudah untuk mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar yang baharu,” katanya kepada media di perkarangan Istana Kinta pada Ahad.
BACA: LAPOR LANGSUNG: UMNO, BN tidak tolak kemungkinan penjajaran baharu politik
Beliau sebelum itu memaklumkan Sultan Nazrin telah memperkenan permintaan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk menghadap baginda jam 10 pagi tadi.
Katanya, pada pertemuan hampir satu jam itu, Sultan Nazrin telah dimaklumkan berhubung perkembangan terkini dari sudut UMNO serta rumusan yang dicapai dalam mesyuarat pada Sabtu malam.
#Zahid Hamidi #UMNO #Dewan Negara #Sultan Perak #Menteri Besar #presiden #menteri #Annuar Zaini