SHAH ALAM : Siasatan terhadap seorang wanita berhubung video mengenai sebahagian kecil titah diraja oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang disunting hingga mengheret kedudukan baginda bagi tujuan politik kepartian menjurus kepada 3R (raja, bangsa dan agama).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya telah selesai mengambil keterangan wanita berusia lingkungan 40-an itu pada Selasa di Balai Polis Cyberjaya.

"Tiada tangkapan setakat ini dan polis telah merekod keterangannya.

"Sama ada dia akan dipanggil semula, itu bergantung siasatan. Ini ialah kes 3R kerana mewujudkan sentimen raja," katanya kepada Sinar Harian.

Menurut beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Akta Hasutan 1948.

Pada Selasa, Razarudin mengesahkan terdapat 24 laporan polis mengenai kes terbabit dan siasatan bersabit penularan rakaman video Sultan Perak yang diolah seakan menyokong sebuah parti politik.

Menerusi video itu, seseorang dipercayai wanita yang juga pemimpin Muslimat Pas Melaka cuba mengetengahkan pandangan Sultan Nazrin terhadap Pas dalam klip video itu.

Pejabat Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Perak pada Isnin turut membuat laporan polis berhubung video yang ditularkan itu.

Dewan Negara Perak menerusi kenyataan ditandatangani Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Jeneral Datuk Seri Diraja Tan Sri Dr Mohd Zahidi Zainuddin berkata, pihaknya percaya pihak yang memetik dan menularkan semula titah Sultan Nazrin pada tahun 2013 berkenaan adalah dengan tujuan mahu mempengaruhi pengundi menjelang pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri pada 12 Ogos ini.

Video berkenaan memuat naik sebahagian kecil titah Sultan Nazrin yang dizahirkan pada 19 Februari 2013 ketika baginda memangku sebagai Raja Perak bertitah di Majlis Wacana Perpaduan Ummah anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bertemakan 'Perpaduan Ummah: Harapan, Realiti dan Cabaran'. - Sinar Harian